Pilih Bahasa

Kenyataan Ketua Wanita PKR Sabah bagai menangguk di air keruh

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kenyataan akhbar Ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid berkenaan video seks yang dikaitkan dengan pemimpin parti itu disifatkan bagai menangguk di air keruh.

Ketua Penerangan PKR Sabah Simsuddin Sidek yang kesal dengan kenyataan Rahimah itu berkata ianya menyemarakkan lagi bibit-bibit perpecahan di dalam parti.

Simsuddin Sidek. Gambar Fail SNT

“Beliau yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sepatutnya menghormati keputusan Biro Politik yang mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh pimpinan utama parti.

“Sepatutnya setiap pimpinan perlu mempertahankan keputusan bersama di dalam mesyuarat dan di luar mesyuarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Simsuddin berkata pendekatan secara rasional dengan mengambil kira setiap pandangan pimpinan sebelum membuat keputusan adalah yang paling berhikmah daripada mengikut gerak emosi yang hanya mementing kelompok tertentu semata-mata.

“Sebagai Ketua Wanita beliau sepatutnya mengambil kira pandangan Ketua-ketua Wanita dan Majlis Pimpinan Negeri sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian parti terutama di Sabah.

“Saya ingin menyeru kepada Pimpinan agar mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pemimpin yang mengeluarkan Kenyataan-kenyataan yang menjejaskan imej parti di mata rakyat.

“Setiap pimpinan perlu menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pandangan masing-masing,” katanya.

Kelmarin, Rahimah mencadangkan agar pimpinan tertinggi PKR mengeluarkan arahan ‘gag order’ (tutup mulut) kepada semua ahli parti daripada membuat kenyataan mengenai video seks berkenaan.

Bagaimanapun, Rahimah menyokong kenyataan naib presiden PKR  Zuraida Kamaruddin bahawa Ketua Pemuda Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai salah seorang pelaku dalam skandal video seks itu sudah pasti dipecat dari parti sekiranya beliau ialah presiden.

Rahimah turut mengkritik Naib Ketua Wanita PKR Datin Faezah Ariffin atas seruannya kepada pimpinan parti untuk mengambil tindakan disiplin pula terhadap Zuraida.-SabahNewsToday