Pilih Bahasa

Kenyataan mengenai perkembangan politik terbaharu dibuat selepas angkat sumpah PM ke-8

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Tun Juhar (depan)berkenaan menghadiri Hari Tentera Darat ke-87 yang diadakan di Stadium Likas Kota Kinabalu. Turut kelihatan Mohd Shafie (kiri). – Gambar SNT/Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Pemimpin kerajaan Sabah dijangka hanya akan membuat kenyataan berhubung pendirian negeri itu mengenai pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan (ke-8) selepas isitadat angkat sumpah pada Ahad (1 Mac).

Difahamkan, Pejabat Ketua Menteri juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan situasi semasa itu.

Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenaan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Menurut kenyataan Istana Negara, pelantikan itu adalah selaras dengan perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Perubahan Kerajaan Persekutuan itu dilihat tidak memberikan impak kepada Sabah yang dipimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama gabungan parti PKR, Dap dan Upko berbanding beberapa negeri di Semenanjung.

Ketibaan Mohd Shafie (tengah) diiringi Ahmad Hasbullah (kanan) sempena Hari Tentera Darat ke-87 yang diadakan di Stadium Likas Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan meneruskan tugas beliau apabila menghadiri sambutan Hari Tentera Darat ke-87 yang diadakan di Stadium Likas Kota Kinabalu, malam tadi.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkenaan menghadiri program bertemakan `Tentera Darat Bersama Rakyat Sedia Sebilang Masa’ itu dan menyaksikan Persembahan Tatu anjuran Tentera Darat malaysia (TDM).

Hadir sama Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Pertunjukan Tatu itu merupakan acara kemuncak Hari Tentera Darat yang mana ia merupakan kesinambungan daripada acara pertama iaitu Majlis Pelancaran Konvoi Kumpulan Tempur Tentera Darat pada 19 Januari 2020 di Padang Bandaran Tawau. – SabahNewsToday