Pilih Bahasa

Kepelbagaian budaya di Semporna menjadi ikon industri pelancongan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Pesta Regatta Lepa Jubli Perak ke-25 memberi makna besar dalam perkenalkan kepelbagaian budaya yang menjadi sumber tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke negeri Sabah khususnya daerah Semporna.

Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong berkata pesta ini memiliki keunikan tersendiri sebagai satu pesta air yang memaparkan kehalusan dan keindahan budaya yang dapat mengangkat martabat daerah ini menjadi ikon kepada industri pelancongan.

Pegawai Daerah Semporna Bianus Kontong berucap ketika Malam Penangguhan Pesta Regatta Lepa Jubli Perak 2019. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

”Regatta lepa ini sememangnya memiliki keunikan tersendirii sebagai satu pesta air yang bukan sahaja memperagakan kehalusan dan keindahan nilai seni lepa dengan kepelbagaian corak dan bentuk sambulayang tetapi juga memaparkan kebudayaan dan tradisi yang sentiasa mewarnai pesta ini.

“Pesta ini turut menjadi platform terbaik untuk masyarakat Semporna memaparkan kebudayaan serta adat tradisi mereka. Jika budaya dan tradisi ditunjukkan kepada pelancong, ia sekaligus dapat menjadi satu tarikan pelancong untuk berkunjung ke daerah ini,” katanya.

Pesta Regatta Lepa Jubli Perak Ke-25 diserikan dengan persembahan sembah tamu. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian dalam ucapan Malam Penangguhan Regatta Lepa Jubli Perak Ke-25, di Padang Bandar Semporna, semalam.

Turut hadir memeriahkan pesta itu Yang Di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM. Jasni serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Shuryani Shuaib.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan pesta jubli perak yang berlangsung bermula 23 April dan berakhir hari ini.

Katanya pelbagai pengisian program yang diatur berjalan dengan lancar dan pesta ini akan diperhalusi saban tahun sejajar dengan arus kemodenan namun tetap mengekalkan keaslian serta identitinya.

”Kejayaan penganjuran Sambutan Regatta Lepa ini ditunjangi melalui semangat kerja berpasukan dan komitmen bersungguh-sungguh yang diperlihatkan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pihak kerana bersama menjayakan pesta ini menjadi satu pesta yang sentiasa diingati,”katanya.

Semalam, lebih 40,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan malam penangguhan pesta berkenaan.

Pesta itu turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan dan hiburan daripada penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin serta pelawak terkenal yang berasal dari Sabah iaitu Zero.-SabahNewsToday