Pilih Bahasa

Keperluan pakej rangsangan ekonomi Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Aminuddin Aling – Gambar SNT/Ihsan Pas Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah disaran melancarkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu industri terbabit yang terkesan akibat jangkitan wabak Covid-19.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata ini kerana penularan wabak itu di negeri ini telah mengakibatkan pelbagai industri mengalami kemerosotan agak teruk.

“Kita mendapati sektor pelancongan dan perkhidmatan antara yang sangat terkesan. Saya difahamkan terdapat pekerja dalam sektor-sektor ini yang terpaksa diberikan cuti tanpa gaji oleh majikan mereka.

“Ini pasti sangat menyukarkan untuk menyara keluarga atau membayar hutang kenderaan, rumah dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Aminuddin menambah pihaknya yakin kerajaan Sabah juga menyedari keadaan ini.

Sehubungan itu katanya, pertimbangan yang sewajarnya kepada mereka yang terlibat dalam industri itu sama ada pengusaha atau pekerja perlu dilihat secara serius.

Menurutnya, secara peribadi pihaknya mendoakan agar wabak Covid-19 akan dapat ditangani dan berakhir dalam masa yang singkat. – SabahNewsToday