Pilih Bahasa

Kepesatan bandar raya Kota Kinabalu menuntut perancangan yang lebih teratur

KOTA KINABALU, 25 Julai (Bernama) — Bandar raya Kota Kinabalu yang berkembang dengan pantas memerlukan perancangan yang lebih baik dan teratur bagi memastikan ibu negeri yang menjadi pintu gerbang bagi Sabah itu menjadi sebuah bandar raya yang benar-benar pesat membangun.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata berkata di bawah kerajaan baharu Sabah, halatuju pembangunan Kota Kinabalu dibuat mengikut perancangan yang teliti dan mengikut zon yang ditetapkan supaya ia lebih tersusun.

“Umum tahu bahawa sesebuah bandar raya perlu ada perancangan untuk pembangunan yang lebih teratur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, sebagai menjawab kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Mohd Salleh baru-baru ini yang mengkritik pembangunan yang dianggap beliau umpama “kampung Melayu” di Kampung Likas di sini.

“Sebagai seorang pemimpin yang pernah memiliki wawasan buat Sabah, secara peribadi saya merasakan wawasan beliau kini semakin tidak jelas selepas kira-kira 40 tahun sudah berlalu. Harris mungkin gagal melihat gambaran yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata Ketua Menteri ketika ini Datuk Seri Shafie Apdal sejak menerajui negeri jelas dalam arahannya kepada perancang bandar, supaya memastikan pengurusan dan pentadbiran yang baik dalam segenap aspek perancangan mereka.

“Contohnya melihat kepada keadaan di Kota Kinabalu ketika ini, mungkin ia melalui perancangan yang tidak baik semasa di bawah pentadbiran sebelum ini.

“Sesetengah kawasan mungkin ada perancangan, tetapi pihak pentadbir membiarkan banyak perkara berlaku tanpa sebarang peraturan jelas, dan hari ini kita lihat beberapa jalan dan ruang terbuka diambil alih oleh para peniaga yang enggan berganjak dari tempat mereka,” katanya.

Sarifuddin berkata semasa bandaraya terus berkembang, kawasan-kawasan seperti Likas dan Tanjung Aru yang begitu hampir dengan pusat bandar raya, mungkin tidak lagi sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan perumahan lagi.

Beliau berkata kenyataan Harris itu kelihatan seolah-olah beliau masih merujuk kepada keadaan sekitar 40 tahun yang lepas, terutama semasa bekas Ketua Menteri itu bercakap mengenai kawasan Sembulan.

— BERNAMA