Pilih Bahasa

Kepkas bincang dengan Motac isu larangan van hotel ambil pelanggan di lapangan terbang

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berkenaan isu van hotel yang tidak dibenarkan mengambil pelanggan mereka di lapangan terbang.

Menterinya, Datuk Christina Liew berkata pengusaha hotel mempunyai hak untuk mengambil pelancong atau tetamu mereka yang menggunakan perkhidmatan hotel berkenaan.

James (depan empat kanan) menyampaikan memorandum berkenaan kepada Christina. Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau dimaklumkan oleh Persatuan Hotel Bajet dalam satu pertemuan singkat di pejabatnya bahawa ia tidak adil kepada pengusaha hotel apabila Motac menghalang van hotel mengambil tetamu mereka yang tiba di lapangan terbang.

“Saya akan berbincang berkenaan perkara ini dengan Motac untuk mencari jalan terbaik agar van hotel ini boleh mengambil pelanggan atau tetamu mereka di hotel bukan disebabkan mereka tidak ada permit sebagai bas persiaran.

“Mereka bukan seperti bas persiaran yang membawa pelancong ke destinasi pelancong tetapi hanya mengambil pelanggan mereka di lapangan terbang.

“Saya juga dimaklumkan, jika van hotel ini mengambil tetamu mereka di lapangan terbang, mereka akan didenda dan sekatan ini tidak adil bagi mereka termasuklah hotel bajet,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat oleh Persatuan Hotel Bajet Malaysia Cawangan Sabah, di Wisma Tun Fuad, hari ini.

Jelasnya tidak ada salahnya jika van hotel pergi ke lapangan terbang untuk mengambil penumpang yang juga tetamu kepada hotel terbabit.

Dalam kunjungan hormat itu juga, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia Cawangan Sabah, James Ong turut mengemukakan beberapa isu kepada Christina berkenaan kebersihan di beberapa kawasan sekitar bandaraya, perkhidmatan Syarikat Pembrokeran Perkhidmatan Hospitaliti Atas Talian (Airbnb) serta meminta perkhidmatan City Bus sekitar bandaraya yang diberhentikan agar dikaji semula.

Ketika kunjungan hormat berkenaan, James turut menyerahkan memorandum berkenaan beberapa perkara yang diketengahkan oleh persatuan tersebut kepada Kepkas. -SabahNewsToday