Pilih Bahasa

KePKAS harap penurunan kuasa pengeluaran lesen pelancongan diluluskan segera

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) berharap permintaan bagi penurunan kuasa kerajaan persekutuan untuk meluluskan serta mengeluarkan lima jenis pelesenan pelancongan yang ditangguhkan akan menghasilkan buah.

Menterinya, Datuk Christina Liew berkata lesen terbabit termasuklah lesen keluar serta masuk untuk ejen pelancongan, lesen pemandu pelancong, lesen kenderaan pelancongan, pelesenan tiket dan lesen untuk mengurus sekolah atau institusi latihan pelancongan.

Christina (tengah) bersama para penerima anugerah sempena Anugerah Pelancongan Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Sabah Tourism Board

“Saya sudah menggesa kerajaan Persekutuan memberi kuasa kepada Sabah untuk meluluskan dan mengeluarkan lima jenis pelesenan pelancongan.

“Permintaan dibuat melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) membolehkan Sabah meluluskan permohonan untuk pelesenan berkaitan pelancongan dan mengeluarkan lesen tanpa perlu melalui kelulusan kerajaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, MOTAC berkata penyerahan kuasa kepada negeri belum dapat dilaksanakan memandangkan banyak perkara berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam rundingan,” katanya.

Christina ketika berucap sempena Anugerah Pelancongan Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan KePKAS

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Anugerah Pelancongan Sabah ke 12 2019, dekat sini, malam semalam.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P Alian dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk William Baya.

Anugerah dwitahunan itu menyaksikan 33 anugerah disampaikan kepada individu serta syarikat yang banyak memberikan sumbangan kepada industri pelancangan di Sabah.

Christina (empat dari kanan) menyampaikan anugerah kepada salah satu penerima sempena Anugerah Pelancongan Sabah 2019. Gambar SNT/Azman Jumat Photography

Antara anugerah disampaikan termasuklah Rakan Kongsi Terbaik kategori Malaysia yang dimenangi oleh AirAsia manakala China Southern Airlines dan Easter Jet memenangi Rakan Kongsi Terbaik di bawah kategori Asing.

Anugerah Pengendali Pelancongan Jelajah Terbaik (Malaysia / Sabah) dimenangi oleh Pelancongan Taikar Worldmart Sdn Bhd, Operator Pelancong Terbaik Luar Negara (China) dimenangi Guangdong China Women International Travel Services.

Kategori Taiwan diberikan kepada Fantast Travel Service, Hong Kong Wing On Travel Service Limited (Hong Kong), Hanatour Service (Korea), Amazing Borneo Travel & Event (Singapura) dan kategori United Kingdom dan Ireland dimenangi oleh Natural Travel Collection Ltd (Wildlife Worldwide).

Dalam pada itu, Anugerah Menteri Khas dimenangi oleh Guangzhou World International Travel Co; Tham Yau Kong; Albert Teo dan Clement Lee.

Sementara itu, Christina berkata sekiranya MOTAC memberikan autonomi pelesenan  kepada Sabah, ia dilihat sebagai suatu langkah yang mampu melonjakan industri pelancongan negeri selain meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan industri di negeri berkenaan.

“Kita berharap permintaan ini diluluskan dan ia dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memberi kesan positif kepada semua pihak berkaitan,” katanya. -SabahNews Today