Pilih Bahasa

Kepkas rancang adakan persembahan kebudayaan, pelbagaikan tarikan pelancongan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) merancang untuk mewujudkan platform persembahan kebudayaan sebagai salah satu tarikan pelancong ke Sabah.

Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata kementeriannya telah bermesyuarat dan bercadang untuk mengadakannya di Pusat Kebudayaan Penampang.

“Kita akan adakan persembahan pada malam setiap hujung minggu oleh badan-badan atau persatuan kebudayaan, mahupun penari di seluruh negeri untuk dipersembahkan kepada pelancong.

“Pelancong mahupun masyarakat setempat boleh datang untuk menyaksikan persembahan ini.

“Kita lakukan ini salah satunya kerana kebiasaannya pelancong datang ke Sabah hanya menikmati Gunung Kinabalu, pantai mahupun pulau-pulau, namun persembahan-persembahan kebudayaan di negeri ini kita tidak perkenalkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar penganjuran Sabah Fest 2019 di Wisma Tun Fuad, hari ini.

Jelasnya pada masa kini, Kota Kinabalu hanya mempunyai Night Food Market di Jalan Gaya dan menjadi lokasi pilihan pelancong pada waktu malam.

Namun, tambahnya dengan adanya persembahan kebudayaan ini, pelancong dapat memilih sama untuk menontonnya pada waktu malam.

“Pada waktu siang, pelancong berjalan mengunjung tempat-tempat menari di sini namun pada sebelah malamnya pula, pelancong tidak ada tempat untuk berjalan-jalan menikmati percutian mereka.

“Dan kita juga akan bersama-sama dengan agensi atau pemain industri pelancongan untuk memasukkan acara ini dalam salah satu pakej pelancongan mereka agar pelancong-pelancong dapat mengatur sedia jadual percutian mereka,” jelasnya.

Menurutnya Kepkas juga akan menjalankan program itu dalam beberapa bulan dahulu untuk melihat sendiri kejayaan dan sambutan penganjuran tersebut oleh pelancong.

Katanya Kepkas juga akan mengatur 35 kumpulan etnik dan sub 217 sub etnik yang ada di seluruh negeri untuk bersama-sama menjayakan program terbabit. -SabahNewsToday

-Tamat