Pilih Bahasa

Keputusan PRK Parlimen Kimanis dijangka diketahui 10 malam esok

Oleh Junaidi Ladjana

Azhar (kiri) meninjau persiapan terakhir sempena PRk Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir Beaufort. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

BEAUFORT: Keputusan penuh Piliharan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dijangka diketahui selewat-lawatnya pukul 10 malam esok.

Bagaimanapun, Pengerusi Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata pihaknya akan membawa perkembangan keputusan tidak rasmi dari semasa ke semasa selepas sahaja pengiraan undi tamat di setiap saluran mengundi.

“Di jangka keputusan selewat-lewatnya pukul 10 malam tetapi kita akan siarkan keputusan tidak rasmi  selepas sahaja pengiraan undi tamat di setiap saluran dan borang 14 ditandatangani oleh semua pihak terbabit.

“Jumlah petugas SPR yang akan bertugas esok adalah seramai 650 orang dan kita akan membuka pusat-pusat pengundi lebih awal iaitu jam 7.30 pagi esok,” katanya ketika ditemui media pada Program Semakan Isi Peti Undi dan Agihan Peralatan Mengundi kepada Ketua Tempat Mengundi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini, hari ini.

Sebahagian petugas SPR membuat persiapan akhir sebelum proses membuang undi pada esok pagi. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Azhar berkata seramai 29,618 pengundi akan menunaikan tanggungjawab itu di sebanyak 68 saluran mengundi membabitkan sebanyak 19 pusat mengundi.

Sehubungan itu, Azhar meminta pengundi untuk keluar lebih awal dan tidak berlengah-lengah untuk mengundi.

Beliau turut memberikan amaran kepada penyokong kedua-dua parti supaya berhenti untuk berkempen pada pukul 12 tengah malam ini dan tidak dibenarkan memakai baju logo parti dan gambar calon dalam 100 meter dari pusat mengundi.

Sebahagian petugas SPR membuat persiapan akhir sebelum proses membuang undi PRK Parlimen Kimanis. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Begitu juga acara-acara kempen patut dihentikan pada 12 tengah malam ini… bukan sahaja di kawasan ini tetapi di media sosial,” katanya.

Tambah beliau lagi, penyokong kedua-dua parti yang bertanding supaya tidak membuat sebarang provokasi antara satu sama lain.

“Saya percaya rakyat Sabah tidak berbuat demikian kerana mereka lebih matang dan harap perkara-perkara itu tidak berlaku,” katanya. – SabahNewsToday