Pilih Bahasa

Keputusan U-turn Kerajaan Sabah buat rakyat bingung: PBS

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: ‘U-turn’ yang dilakukan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah membuat rakyat negeri ini bingung, dakwa Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata Kerajaan Sabah menolak PKPB yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat bermula 4 Mei lalu.

Datuk Joniston Bangkuai. Gambar Fail SNT

Joniston berkata dalam pengumuman yang dibuat pada 3 Mei itu Kerajaan Negeri menyatakan sebaliknya akan terus melaksanakan PKP fasa empat dan hanya akan membenarkan beberapa sektor ekonomi dibuka pada 12 Mei.

Namun pada 7 Mei, Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu mendakwa Kerajaan Negeri membuat ‘U-turn’ apabila mengumumkan akan menguatkuasakan PKP fasa lima dengan membenarkan beberapa sektor dibuka.

“Kerajaan Negeri Sabah harus memberi penjelasan apakah negeri Sabah kini berada dalam fasa empat atau fasa lima PKP?”

“Kerajaan Persekutuan berkata Sabah harus patuh. Ketua Menteri berkata tidak tetapi bertukar pendirian hari berikutnya.

“Terdapat banyak kenyataan yang bercanggah membuatkan rakyat tidak tahu mana satu yang dibenarkan dan sebaliknya,” kata Joniston.

“Apakah rakyat dibenarkan membuat perjalanan rentas daerah? Mana satu yang benar, empat orang atau dua orang dalam satu kenderaan?” soal beliau.

Menurutnya rakyat telah menanggung begitu banyak kepayahan berikutan pandemik Covid-19 dan begitu juga, banyak sektor ekonomi telah terkesan.

“Ini bukanlah masanya untuk bermain politik. Dunia sedang dan akan terus berhadapan dengan hari-hari gelap akibat Covid-19,” katanya.-SabahNewsToday