Pilih Bahasa

KERAJAAN AKAN BANTU JIKA SALAH SEORANG IBU BAPA WARGA TEMPATAN

Oleh Sabah News Today

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang lahir di Sabah dan dikategorikan sebagai warga asing walaupun salah seorang ibu bapa mereka adalah orang tempatan, akan diberi bantuan menerusi program pemutihan agar masa depan mereka lebih terjamin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, nilai perikemanusiaan yang tinggi menjadi asas kepada kerajaan pimpinannya membantu golongan tersebut kerana mereka berhak mendapat masa depan yang lebih cerah.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar Fail SNT

Bagaimanapun, terdapat prosedur ketat yang ditetapkan dan antaranya pemohon perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa kanak-kanak berkenaan telah dilahirkan di Sabah dan salah seorang daripada ibu bapanya adalah orang tempatan sebelum langkah selanjutnya akan diambil.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, tuduhan kononnya kerajaan cuba memberi kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui program pemutihan itu adalah tidak benar sama sekali.

“Ini perlu penyelesaian kalau salah seorang ibu atau bapa orang Malaysia darah dagingnya Malaysia kita perlu bantu.

“Kita akan teruskan bantu dan kenal pasti masalah dia kalau benar ibu bapa dia orang asing kita hantar dia balik tapi kalau lahir di Sabah, ibu atau bapa orang Sabah takkan hantar ke Jepun, cakap Jepun pun dia tidak tahu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tegasnya, setiap kanak-kanak yang lahir di Sabah dan mempunyai darah daging Sabah layak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Tapi janganlah tuduh macam-macam bila kita buat sesuatu demi masa depan anak-anak ini, mereka nak lari ke mana selepas ini ke Afghanistan… Arab Saudi… Filipina atau Indonesia… bukan dia tahu siapa ada di sana sebab asalnya orang Sabah.

“Jadi perlu kita memastikan anak-anak ini diurus dengan baik supaya sekurang-kurangnya dapat kita tahu apa punca masalah mungkin tidak didaftar sebab tiada surat nikah, tetapi kalau anak ini orang Malaysia takkanlah kita tidak mahu bantu.

“Esok bapa dia meninggal dunia, budak ini tidak tahu mahu ke mana lagi, yang dia tahu kampung dia di Sabah bapa dia orang Sabah,” jelas beliau.

Terdahulu dalam persidangan Dewan Rakyat pagi ini, Kementerian Dalam Negeri menempelak pembangkang Sabah kerana menuduh usaha kerajaan negeri membantu golongan itu sebagai program memberi IC kepada PATI.

Timbalan Menterinya, Datuk Azis Jamman berkata, program pemutihan itu tidak akan berjaya jika pembangkang berterusan membuat tuduhan seperti itu.-SabahNewsToday