Pilih Bahasa

Kerajaan akan pastikan kebolehpasaran graduan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah (KPINS) sedang merancang serta melihat semua keperluan berkaitan pekerjaan di setiap industri bakal diceburi negeri ini.

Menterinya, Datuk Dr Yusof Yaacob berkata ia bagi memastikan mahasiswa dilahirkan negeri berkenaan relevan dengan kebolehpasaran pekerjaan semasa.

Datuk Dr Yusof Yacob. Gambar Fail SNT

“Kita sentiasa memikirkan langkah terbaik bagi memastikan graduan dihasilkan berkualiti dan bersiap sedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

“Saya pasti tujuan utama kementerian ini diwujudkan oleh kerajaan negeri adalah bertujuan supaya rakyat negeri ini berpengetahuan  serta berkemahiran.

“Apa yang berlaku dahulu, kita tidak peka tentang blueprint negeri terutamanya berkaitan keperluan sumber manusia. Oleh itu, kita selaku kerajaan baharu mahu mengubah perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai (PBS) ketika sesi soal jawab sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Kali Ke 15, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffery Kitingan (STAR) sewaktu sesi soal jawab berkaitan inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan serta melaksanakan pembaharuan inovasi di semua peringkat pelajaran di Sabah, Yusof berkata pembaharuan dan inovasi di peringkat pembelajaraan merangkumi pengembangan pengetahuan baharu, budaya saintifik, penyebaran teknologi maklumat mahupun pembaharuan potensi manusia.

“Walaupun silibus pembelajaran sekolah adalah di bawah kawalan kerajaan pusat, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi menyediakan beberapa inisiatif sebagai pelengkap yang sudah tersedia di semua peringkat pembelajaran di Sabah.

“Antara inisiatif berkenaan termasuklah pembangunan keusahawanan melalui inovasi teknologi, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, program Kecemerlangan Inovasi Pendidikan Sabah (KIPS), program teknovasi dan program sekolah pelancongan,” katanya.

Bagaimanapun, Yusof berkata semua inisiatif terbabit tidak terhad kepada yang dirancang kementerian sahaja tetapi menjemput dan mengalukan persatuan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar menganjurkan aktiviti berasaskan inovasi. –SabahNews Today