Pilih Bahasa

Kerajaan akan perbaiki polisi dan prosedur di peringkat PBT

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan memperbaiki beberapa polisi dan prosedur di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan ia sentiasa responsif kepada permintaan rakyat terutama melibatkan pembangunan fizikal.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata ia melibatkan kelulusan Pelan Pembangunan, Pelan Bangunan dan Kelulusan Sijil Menduduki akan disegerakan dengan syarat permohonan yang dibuat adalah memenuhi syarat-syarat ditetapkan bagi membolehkan kelulusan diberikan.

Datuk Jaujan Sambakong. Gambar Fail SNT

“Perkara ini akan menarik lebih banyak pemaju untuk membuat pelaburan kerana urusan pentadbiran yang mudah dan tempoh masa permohonan yang singkat.

“Peranan PBT yang semakin dominan sejajar dengan kehendak serta keperluan rakyat ke atas perkhidmatan perbandaran yang lebih menjadi semakin ketara,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata pihaknya akan berusaha untuk mewujudkan ekpresi `PBT dekat dihati Rakyat’ yang bukan hanya retorik semata tetapi memastikan PBT adalah jambatan penghubung di antara rakyat dan pemimpin dan juga pelaksana dasar di peringkat akar umbi.

Pemerkasaan Perkhidmatan PBT

Menurut Jaujan sebahagian sumber kewangan yang diperolehi oleh PBT adalah daripada hasil cukai harta/pintu iaitu kira-kira 80 hingga 85 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil tersebut selain disumbang oleh hasil lesen, sewaan, kompaun tempat letak kereta peruntukan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Seperti pihak berkuasa lain, Jaujan berkata PBT juga menghadapi masalah tunggakan cukai pintu yang agak tinggi.

“Oleh itu kementerian saya mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini iaitu pemantauan berterusan oleh PBT, mengadakan Bengkel Pemantapan Hasil, memperkasa penguatkuasaan PBT, mewujudkan kios pembayaran bagi membolehkan bayaran dibuat setiap masa dan menggunakan media cetak dan media sosial untuk pemakluman kepada mereka yang mempunyai jumlah tunggakan yang tinggi.

“Kita juga akan membuat kajian semula ke atas kadar bayaran lesen perniagaan. Pada masa sekarang bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM25 bagi sema jenis perniagaan. Kadar baharu yang diperkenalkan kelak akan mengambil kira jenis perniagaan bersesuaian dengan aktiviti yang dijalankan,” katanya.

Persekitaran Bersih dan Indah Untuk Kesejahteraan Hidup

Jaujan mejelaskan pengurusan sisa pepejal terus menjadi agenda utama kementerian walaupun jumlahnya di negeri ini semakin meningkat.

Tambah beliau pada 2013, penghasilan sisa pepejal di Sabah ialah 2.06 juta kilogram (kg) sehari dan angka tersebut dijangka meningkat setiap tahun pada kadar 0.7 kg perkapita.

Bagi melaksanakan pengurusan sisa pepejal ini, katanya memerlukan kewangan yang banyak dalam memastikan keadaan persekitaran kekal bersih dan selamat.

Katanya kaedah konvensional iaitu secara penimbusan di tapak pelupusan semakin tidak relevan dan memberikan kesan negatid kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

“Kementerian kini sedang mengkaji dan melihat kemungkinan penggunaan teknologi tinggi seperti Waste to Energy dalam pengurusan sisa pepejal di negeri ini,” katanya.

Perumahan terancang dan Mampu Menampung Permintaan

Menyedari keperluan perumahan awam untuk golongan berpendapatan rendah terutama B40, beliau memberitahu kementeriannya melalui Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sedang melaksanakan pembinaan sejumlah 175 unit rumah kos rendah di tiga daerah.

Pembinaan rumah berkenaan akan dibina di Merotai Tawau (100 unit), Kampung Sook Keningau (32 unit) dan Ulu Dusun Sandakan (43 unit) melalui biayaan peruntukan kerajaan Negeri.

“Ini bagi membantu merealisasikan pemilikan rumah dalam kalangan golongan ini kerana harga bagi seunit rumah adalah dalam lingkungan RM42,000 hingga RM47,000 seunit,” katanya.

Katanya LPPB telah mengambil inisiatif untuk memohon lebih banyak peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah.

Dalam pada itu katanya permohonan bagi melaksanakan program PPR telah adalah sebanyak 18,825 unit di 32 lokasi seluruh negeri itu.

“LPPB telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi program Skim Pinjaman Perumahan Untuk Golongan Berpendapatan Rendah (SPPUGBR) dan Skim Pinjaman Rumah Panjang (SPRP) di negeri Sabah.

“Skim Pinjaman Perumahan Untuk Golongan Berpendapatan Rendah (SPPUGBR) adalah satu skim pinjaman yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk golongan yang berpendapatan rendah (bukan kakitangan kerajaan dan belum memiliki rumah).

“Skim ini bertujuan membantu menampung kos pembinaan rumah yang berharga tidak melebihi RM50,000.00,” katanya.

Setakat April ini pihak LPPB telah menyiapkan pembinaan sebanyak 372 unit, 124 pula sedang dibina manakala 161 unit lagi akan dibina. – SabahNewsToday