Pilih Bahasa

Kerajaan akan terus tuntut hak Sabah termasuk kewangan negeri

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan akan teruskan usaha untuk menuntut hak Sabah yang termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan termasuklah hak kewangan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembentukan Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed turut berusaha untuk melibatkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam pindaan terbabit.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita akan teruskan kerana semenjak pembentukan Jawatankuasa ini bersama dengan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak, pada masa akan datang akan ada wakil dari Jawatankuasa Pilihan Perlimen.

“Ia bertujuan membolehkan suara-suara Ahli Parlimen yang mungkin akan dilontarkan pada masa akan datang.

“Pindaan Perlembagaan ini juga tidak perlu melibatkan tuntutan hasil kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan sama ada 40 peratus atau 20 peratus yang kita mahu tuntut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Jeffrey Kitingan (Star-Tambunan) berkenaan usaha kerajaan dalam menuntut hak dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan termasuk hak kewangan Sabah untuk dibayar dengan cepat kerana negeri memerlukan hasil wang berkenaan.

Mohd Shafie berkata tuntutan kewangan dari kerajaan Persekutuan tersebut hanya perlu pelaksanaan sahaja.

Namun, jelasnya pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan Sabah sebagai rakan kongsi sama taraf dengan semenanjung adalah penting untuk melaksanakan tuntutan kewangan termasuk geran khas berkapita, 20 peratus royalti minyak, kutipan setem hasil dan sebagainya.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri juga mempunyai beberapa alternatif lain dalam menuntut kewangan negeri sekiranya ia tidak dibayar untuk memastikan hasil sumber negeri dapat diperoleh.

Bagaimanapun, menurutnya usaha tersebut memerlukan masa dalam dua hingga tiga tahun untuk dijayakan. -SabahNewsToday