Pilih Bahasa

Kerajaan akan teruskan polisi haramkan eksport kayu balak

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Tun Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni memasuki bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah sempena perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan akan meneruskan polisi pengharaman eksport kayu balak bertujuan merangsang pembangunan industri hiliran berasaskan kayu kayan tempatan seperti pembuatan perabot dan meningkatkan peluang pekerjaan.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar berkata langkah itu secara langsung akan membantu para pengusaha kilang tempatan untuk menjana peluang ekonomi dan menikmati `multiplier effects’ daripada industri perkayuan tempatan.

“Kerajaan komited untuk memajukan sektor perkilangan yang berpotensi untuk merangsang ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi di samping sektor-sektor ekonomi utama lain seperti pelancongan, pertanian dan perlombongan.

“Kerajaan juga telah mengenalpasti kawasan di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan sebagai hab pembuatan perabot bagi Sabah,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Tun Juhar menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tun Juhar berkata usaha padu juga akan dilakukan oleh kerajaan untuk menggiatkan lagi aktiviti hiliran bernilai tinggi di negeri ini khususnya dalam industri hiliran minyak dan gas di Taman Perindustrian Mi­nyak dan Gas Sipitang (SOGIP) serta kelapa sawit Kelompok Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu.

Dalam pada itu beliau berkata langkah untuk mengisytiharkan Gunung Kinabalu dan kawasan di sekitarnya, merangkumi daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu diisytiharkan sebagai tapak Geopark Kebangsaan pada tahun ini sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Tun Juhar berkata kawasan itu akan dimasyhurkan sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaa (UNESCO) Global Geopark menjelang tahun 2020.

“Kerajaan juga sedang dalam proses untuk mewartakan kawasan Teluk Darvel di Lahad Datu dan Pulau Mantanani di Kota Belud sebagai kawasan permuliharaan marin.

“Pendekatan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk terlibat dalam bidang pemuliharaan alam sekitar semulajadi dan eko pelancongan di peringkat antarabangsa,” katanya. – SabahNewsToday