Pilih Bahasa

KERAJAAN ALU-ALUKAN INPUT PEMBANGUNAN PERSATUAN ETNIK

Oleh Alfred Petrus

Ewon ketika berucap dalam Majlis Tahun Baharu Cina Tombonuo di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan mengalu-alukan input pembangunan Sabah berdasarkan keperluan sebenar kemudahan prasarana yang diperlukan oleh setiap persatuan berasaskan etnik Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datu Ewon Benedick berkata masyarakat melalui persatuan berasaskan etnik harus mengambil peluang tersebut yang diberikan oleh kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup.

“Saya berharap warga tempatan mengambil peluang diberikan yang mana Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan retret untuk merangka input-input pembangunan Sabah berdasarkan keperluan sebenar berasaskan kepada aspirasi masyarakat Sabah.

“Tanpa input yang dibina secara berpasukan, agak sukar untuk kita membina potensi Sabah pada masa hadapan.

“Oleh itu saya menggesa persatuan-persatuan berasaskan suku kaum seluruh Sabah dapat memberi input kepada kami di KPLB,” katanya ketika berucap pada Majlis Tahun Baharu Cina Tombonuo di Putera Theater Ballroom semalam.

Tambahnya banyak persatuan terdapat di Sabah yang mempunyai perniagaan dan masih memerlukan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.

Jelasnya melalui aspirasi yang dibawakan oleh persatuan-perastuan etnik Sabah mampu membantu kerajaan dalam merancang pembangunan dalam negeri.

“Siapa lagi yang memahami aspirasi kita… siapa lagi yang boleh memahami keperluan kita di kampung yang dihuni oleh ahli-ahli suku kaum kita selain daripada persatuan suku kaum?

“Persatuan etnik Sabah inilah yang lebih memahami keperluan di kampung yang didiami oleh anggota masyarakat itu sendiri,” katanya. – SabahNewsToday