Pilih Bahasa

KERAJAAN AMBIL ALIH PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengesahkan bahawa model Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi Projek Mega Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM29 bilion itu ditamatkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata persetujuan itu telah dicapai selepas perbincangan antara kerajaan negeri, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Melalu perbincangan berkenaan, kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk tidak melibatkan sektor swasta seperti PDP dalam pembinaan projek ini.

“Bagaimana sektor swasta seperti PDP ini dibiarkan menguruskan model RM16 bilion bagi projek ini? Kita (kerajaan negeri) bertanggungjawab.

“Tiba masanya jabatan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kewangan Negeri mengambil alih projek ini dan diurus tadbir dengan telus,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa ‘Heart of Borneo’ (HoB) dan Hari Hutan Antarabangsa 2019 di Hotel Magellan Sutera Harbour, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita online, The Edge melaporkan keputusan Kerajaan Persekutuan menggugurkan model PDP bagi projek terbabit kerana ianya melebihi kos asal yang diperuntukkan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony dalam satu kenyataannya pada Disember 2018 menyatakan kerajaan negeri berpotensi memperolehi penjimatan sehingga RM2 bilion melalui kos pembinaan projek terbabit selepas pengambilalihan pelaksanaannya kepada JKR Sabah.

Sebagai rekod, Projek Mega Lebuhraya Pan Borneo dijangka siap menjelang 2023 di Sarawak dan 2025 di Sabah.

Laluan dua hala projek terbabit merangkumi jajaran sejauh 2,325 kilometer (km).

Bagi Sabah, fasa pertama pembinaannya bermula pada April 2016 yang melibatkan 35 pakej bernilai RM12.8 bilion bagi pembinaan jalan raya sejauh 706 km dari Sindumin ke Tawau. -SabahNewsToday