Pilih Bahasa

KERAJAAN BAGUS MOHON MAAF ATAS KETIADAAN KETUA KAMPUNG

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan sepatutnya memohon maaf kepada rakyat Sabah atas kesukaran yang mereka hadapi berikutan penamatan perkhidmatan semua Ketua Kampung enam bulan yang lalu.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai berkata alasan masalah teknikal sebagai punca kelewatan pelantikan Ketua Kampung yang baru tidak masuk akal.

Datuk Joniston Bangkuai. Gambar Fail SNT

“Kenapa tidak kekalkan saja dulu semua Ketua Kampung sedia ada sehingga masalah teknikal itu dapat diselesaikan dan pelantikan baru dapat dilaksanakan?, tanya Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu.

Tidak menghairankan  timbul syak wasangka dan dakwaan mengaitkan ketiadaan ketua kampung selama berbulan-bulan ini sebagai memberi ruang kepada pendatang tanpa izin (PTI) mendaftar untuk mendapatkan kad pengenalan.

“Mungkin juga ada dikalangan PTI yang mengambil kesempatan atas ketiadaan ketua kampung untuk memberi pengesahan status atau latar belakang pemohon untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri. Ini tidak mustahil,” ulas beliau.

Joniston mengulas penjelasan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedik bahawa dakwaan menyatakan pelantikan ketua kampung bertujuan memberi ruang kepada kerajaan memberi Kad Pengenalan kepada pendatang tanpa izin sebagai sama sekali tidak benar.

Ewon juga dipetik sebagai berkata kelewatan yang berlaku adalah disebabkan masalah teknikal seperti keperluan menapis semua calon yang begitu ramai.

“Tempoh yang panjang selama enam bulan untuk proses melantik ketua kampung yang baru menunjukkan ketidakcekapan pihak kerajaan negeri,” kata Joniston.

“Bayangkan lah kesukaran yang dihadapi penduduk kampung yang perlu penyelesaian isu dan perkara berkaitan pengurusan adat istiadat, tanah, pertunangan dan perkahwinan pada masa enam bulan tanpa ketua kampung,” tambah beliau.

Masyarakat kampung juga berhadapan masalah mendapat pengesahan sijil dan dokumen untuk anak-anak memasuki sekolah gara-gara kelewatan pelantikan ketua kampung yang baru.

“Mengurus perkara asas pentadbiran di peringkat kampung saja pun tidak ketentuan, apa kan lagi mengurus negeri.”-SabahNewsToday