Pilih Bahasa

KERAJAAN BANTU BANGUNKAN INDUSTRI MAKANAN ASAS RUMBIA, PELANCONGAN KUALA PENYU

Oleh Chris Maskilone

Junz bersama Adun Kuala Penyu Datuk Limus Jury (tiga dari kanan) dan Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar Tan Sri Wences Anggang (kanan) bersedia menjamu selera di salah satu rumah tradisi Pesta Rumbia. Gambar SNT/Ehsan MAFI

KUALA PENYU: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong akan menyarankan kepada Kementerian Pelancongan agar Pesta Rumbia diangkat sebagai acara pelancongan tahunan rasmi negeri Sabah.

“Saya akan berbincang dengan  Timbalan Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew tentang hal ini,” katanya.

Junz (tengah) bersama rombongan mencuba makanan di salah satu gerai sempena Pesta Rumbia ke-29 di Kuala Penyu hari ini. Gambar SNT/Ehsan MAFI

Pesta Rumbia memperlihatkan keunikan daerah Kuala Penyu yang terkenal dengan hasil daripada Rumbia, sejenis spesis palma yang mempunyai banyak kegunaan daripada batang sehinggalah kepada daun-daunnya.

Sagu adalah produk rumbia yang utama manakala daunnya telah digunakan sejak dahulu lagi untuk dianyam menjadi atap rumah ataupun dinding.

“Selain sebagai satu tarikan pelancong, Pesta Rumbia turut menjadi tempat bagi pengusaha tempatan dan peniaga kecil mempamerkan dan menjual produk mereka,” katanya.

Mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merasmikan Pesta Rumbia ke-29 di sini hari ini, Junz berkata terdapat banyak produk makanan asas tani berkualiti dihasilkan oleh KPD, Ko-Nelayan dan terbaru adalah daripada rumbia.

“Kita harus berusaha mengetengahkan produk tempatan Sabah ke pasaran. Kita tidak perlu terus menggunakan barangan impot dari luar negara,” katanya.

Adun Kuala Penyu Datuk Limus Jury memberi makan ‘butod’ kepada Junz. Butod adalah larvae sejenis kumbang selalunya didapati dalam batang rumbia. Gambar SNT/Ehsan MAFI

Dalam pada itu, katanya Kementerian melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD) akan menyediakan satu platfom bagi para pengusaha tani untuk membantu dari segi pembungkusan dan promosi produk makanan berasaskan rumbia Kuala Penyu.

Junz turut mencadangkan kepada syarikat pelancongan tempatan bekerjasama untuk merangka program lawatan ke Kuala Penyu dan Weston dalam satu pakej.

“Kita patut bantu mempromosikan produk pelancongan yang unik dan menarik di Sabah,” katanya.

Selepas lawatannya ke rumah-rumah kebudayaan di tapak Pesta Rumbia, Junz mencadangkan agar ia terus dibuka setiap hari dan mengadakan program Rumbia untuk menarik pelancong secara tidak langsung dapat membantu menaikkan ekonomi penduduk daerah ini.-SabahNewsToday