Pilih Bahasa

Kerajaan bentang usul terima penambahan 13 kerusi Dun Sabah baharu 17 Julai ini

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Usul menguatkuasakan syor Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai penambahan tiga belas kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah dijangka dibentangkan di Parlimen pada 17 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata Kerajaan Pakatan Harapan telah meneliti Laporan SPR mengenai Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-syor Yang Dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Di dalam Negari Sabah Kali keenam Tahun 2017.

Datuk Liew Vui Keong. Gambar Fail SNT

“Setelah meneliti Laporan SPR tersebut, Kerajaan Pakatan Harapan memutuskan adalah penting untuk menyediakan perwakilan demokrasi yang
mencukupi dan efektif untuk rakyat Sabah mengikut permintaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Julai, kerajaan akan membentangkan usul draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) beserta Laporan SPR bertarikh 14 Februari 2017 .

Liew berkata sepertimana semua maklum, pindaan Undang-Undang Perlembagaan
Negeri Sabah terhadap Perkara 14 Fasal (2) bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu dari 60 kepada 73 kerusi telah berkuatkuasa pada 18 Ogos 2016.

“Pada 21 Februari 2017, Laporan SPR tersebut telah diserahkan kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, selaras dengan Seksyen 8, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Laporan SPR tersebut tidak diusul
untuk pembentangan pada Sidang Parlimen Ketiga-belas yang lepas di bawah Kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Liew berkata SPR telah menyerahkan semula Laporan SPR tersebut kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 26 Jun 2018.

Penelitian terhadap Laporan SPR tersebut telah dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan dan memutuskan untuk membentangkannya pada persidangan kali ini.

Pengusulan draf Perintah Perlembagaan Persekutuan tersebut bersama dengan Laporan SPR untuk pembentangan Dewan Rakyat adalah diperuntukkan di bawah seksyen 12, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan syor-syor yang terkandung dalam Laporan SPR tersebut.-SabahNewsToday