Pilih Bahasa

Kerajaan berhasrat kumpul syarikat tempatan bangunkan negeri

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan berhasrat mengumpulkan syarikat-syarikat awam tempatan bagi memainkan peranan lebih aktif ke arah pembangunan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sektor pemaju perumahan dalam negeri adalah besar dan kerajaan ingin melihat sumber mereka dikembangkan lebih luas bagi membantu meningkatkan ekonomi negeri.

Jaujan (tengah) bersalaman dengan Pengarah Eksekutif Gamuda Land Datuk Abdul Sahak Safi. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Kerajaan Sabah sentiasa mengalu-alukan usaha dan inisiatif terbaik daripada pihak pemaju yang sanggup melabur di bandar kita.

“Keadaan ini sekaligus akan memberikan manfaat yang baik kepada rakyat untuk satu tempoh masa yang lama,” katanya ketika berucap merasmikan acara ‘Topping Off’ Bukit Bantayan Residences, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong.

Mohd Shafie berkata kerajaan berharap ramai pemaju akan tampil ke hadapan bagi mengetuai dan memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab agar negara dapat terus maju.

Jaujan (tengah) mengetuai penyempurnaan acara ‘topping off’ berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Tambahnya industri perumahan dalam negeri memainkan peranan penting dalam ekonomi Sabah memandangkan ia menyumbang kepada sektor pembinaan, pembekalan, pengangkutan, perkhidmatan profesional dan banyak lagi.

“Oleh itu, kerajaan kini sedang dalam usaha mewujudkan polisi dan strategi yang mampu membantu meneruskan perkembangan dalam sektor perumahan.

“Kerajaan yang ada hari ini sedang memeriksa dan menyusun semula prosedur-prosedur bagi meluluskan pembangunan,” katanya. -SabahNewsToday