Pilih Bahasa

KERAJAAN BERUSAHA TINGKATKAN KESELAMATAN NEGERI

Oleh Alfred Petrus

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat JKKN Khas Sabah. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan berusaha untuk memastikan keselamatan di seluruh negeri dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha berkenaan bersifat menyeluruh dan bukannya tertumpu di kawasan panas sahaja.

“Kita membincangkan tentang keselamatan-keselamatan di peringkat negeri bagaimana kita mahu pastikan supaya kesiapsiagaan dapat kita tingkatkan.

“Jangan ambil ringan tentang keadaan-keadaan keselamatan ini dan kita perlu pastikan setiap masa ada kesiapsiagaan kita untuk memastikan bukan hanya kawasan-kawasan ‘hotspot’ tetapi juga di musim-musim perayaan yang mana ramai pelancong akan datang.

“Oleh itu, keselamatan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Sabah di sini pada Selasa.

Tambahnya kes-kes seperti banjir yang berlaku juga akan dibincangkan pada mesyuarat kabinet pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menyeru kepada pemimpin-pemimpin kampung untuk sentiasa berwaspada dan peka terhadap ancaman cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Pemimpin kampung perlu bersiapsiaga dari segi menyelamatkan nyawa penduduk kampung sekiranya berlaku kejadian banjir atau kebakaran.

“Kita juga akan memastikan agensi penyelamat yang terlibat untuk meningkatkan usaha mereka memadam api dan menyelamatkan nyawa,” katanya. -SabahNewsToday