Pilih Bahasa

KERAJAAN BUKAN BANTU RAKYAT ASING: MOHD SHAFIE

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beri jaminan kerajaan hanya bantu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen yang mana salah seorang daripada ibubapanya ialah rakyat Sabah.

“Kita telus … bukan saya katakan kita akan bantu kanak-kanak yang kedua ibubapanya ialah rakyat asing. Tidak.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melancarkan Regatta Lepa Lepa Semporna di PPNS hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Kalau bapanya orang asing dan ibunya juga orang asing, mereka bukanlah warganegara. Mereka bukan orang Malaysia dan Sabah tetapi rakyat asing yang seharusnya dihantar balik ke negara masing-masing. Ini tiada cara lain,” katanya.

Ditemui selepas pelancaran Regatta Lepa Lepa Semporna di PPNS dekat sini hari ini, Mohd Shafie enggan melayan kenyataan pembangkang yang mempertikaikan usaha kerajaan.

“Jika ia adalah hak orang Sabah kita akan berjuang untuk orang Sabah. Saya bukan berjuang untuk orang asing tetapi untuk rakyat Sabah,” katanya.

Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan apa-apa dokumen pun kepada kanak-kanak terbabit.

“Ia adalah dibawah bidangkuasa Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri Sabah tidak punya apa-apa skim untuk ini. Cuma kita akan bantu dimana boleh,” katanya.

“Di mana ada ruang untuk menolong rakyat Sabah kita, kenapa kita tidak mahu menolong? Takkan lah kita tiada perasaan timbang rasa dan kasih sayang (kepada rakyat Sabah yang terlibat).

“Walaupun dia orang kampung dan sebagainya tetapi anak dia sudah lahir di sini (dengan) bersuamikan orang asing. Takkan lah kita tidak mahu bantu? Mereka ini orang Sabah juga,” ujarnya.

Berkenaan kenyataan beliau baru-baru ini, Mohd Shafie berkata ia sebenarnya adalah pandangan beliau tentang jawapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai isu ini dalam sesi soal jawab di Parlimen.

“Mereka tanya pendapat saya mengenai kenyataan KDN dan bagi saya ia adalah baik kerana bilamana salah seorang dari ibubapa adalah orang Sabah maka harus ada usaha untuk memastikan kanak-kanak tanpa dokumen tersebut mempunyai akses kepada sekolah dan pelbagai kemudahan lagi,” katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri akan menimbangkan untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menjejaki kanak-kanak ini, beliau berkata ianya bukan tanggungjawab Kerajaan negeri tetapi Kerajaan pusat.

“Cuma saya telah nyatakan bahawa harus ada langkah yang komprehensif untuk membolehkan anak-anak ini dibantu,” katanya.

Antara sebab kanak-kanak ini tidak mempunyai kewarganegaraan ialah perkahwinan ibubapa mereka (salah seorang rakyat tempatan) tidak didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bapanya bukan penduduk bermastautin tetap tetapi beristerikan orang Sabah.

Ditanya langkah kerajaan menangani kemungkinan akan ada cubaan pihak-pihak tertentu untuk mengambil kesempatan tehadap usaha ini, beliau berkata ianya sudah tentu akan ditangani.

“Namun kita tidak boleh menidakkan hak orang Sabah hanya kerana ada orang yang menyalahgunakan usaha kerajaan ini

“Kita tidak akan membenarkan ini berlaku … Sekiranya didapati sesuatu yang tidak betul, silakan (ambil tindakan). Cuma, jangan serang Kerajaan negeri kerana ianya adalah dibawah Kerajaan persekutuan.

“Pengeluaran dokumen seumpama ini hanya boleh dilakukan oleh JPN dan Jabatan Imigresen,” katanya.-SabahNewsToday