Pilih Bahasa

Kerajaan cadang guna dron tingkat pengawasan perairan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bercadang mempertingkatkan sistem keselamatan di kawasan perairan terutamanya Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) dengan menggunakan dron.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sistem dron masa kini dilihat suatu yang cukup baik dan akan menjadi kaedah baharu yang perlu diusahakan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal bersalaman dengan Ahli-Ahli Dewan (tengah) sebaik berakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Walaupun sistem dron ini dikendalikan secara manual, tetapi ia dilihat lebih sistematik dalam memastikan keselamatan perairan negeri.

“Ia dapat mengawal dari segi kemasukan bot-bot anasir jahat tanpa kita menggunakan kapal terbang.

“Ini kerana, kawasan atau sempadan perairan terutamanya di pantai timur ini terlalu luas dan bukan mudah bagi kita untuk mengawal dari segi penempatan anggota menerusi bot-bot laju, pengangkutan udara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Japlin Akim (Bersatu-Usukan) berkenaan inisiatif kerajaan negeri terhadap sistem bersepadu mengadakan radar bagi mengawasi Esszone terutamanya di perairan Kudat, di Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Jelasnya kerajaan juga bercadang untuk menggunakan sistem radar untuk mengesan kemasukan kapal-kapal yang tidak dikenal pasti memasuki perairan negara.

Mohd Shafie berkata usaha berkenaan adalah bagi menjaga kedaulatan perairan negara. -SabahNewsToday