Pilih Bahasa

Kerajaan diminta ambil tindakan segera bantu masalah rakyat: Ronald

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ronald (tengah) bersama orang ramai yang menghadiri Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baru di Pekan Beluran. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Beluran

BELURAN: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berharap kerajaan terus menyalurkan pembangunan kepada rakyat khususnya di luar bandar di negeri ini.

“Bagaimanapun pembangunan yang dilaksanakan itu perlu dibuat secara menyeluruh untuk memastikan rakyat dapat menikmatinya.

“Pembangunan yang diperlukan bukan setakat pembangunan infrastruktur tetapi juga peruntukan untuk membangun keperluan kerohanian termasuk rumah-rumah ibadat,” katanya pada Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baru di Pekan Beluran di sini, semalam. 

Majlis itu dianjurkan oleh Majlis Gabungan Gereja-Gereja Beluran yang terdiri dari  Gereja Katolik, Anglican, Sidang Injil Borneo(SIB), Seventh-day Adventist (SDA) dan Kalvari.

Menyentuh perkara lain dalam kawasannya, beliau berharap agar kerajaan mengambil tindakan segera membaik pulih Jalan Paitan-Kanibungan yang rosak teruk.  

Katanya jalan tersebut telah lama mengalami kerosakan dan disebabkan terbiar sekian lama sehingga kerosakannya kini menjadi lebih serius sehingga menyulitkan penduduk kampung.

Ronald berkata kerajaan perlu segera memperbaiki jalan itu demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan baharu.

Mengenai program sambutan Krismas dan tahun baharu itu, beliau berkata masyarakat berbilang kaum di negeri ini perlu terus memupuk dan mengeratkan perpaduan yang sedia wujud.

Beliau berkata perlu wujud semangat toleransi yang tinggi dan hormat menghormati dalam kalangan rakyat daripada pelbagai kaum dan budaya serta kepercayaan agama.

“Masyarakat majmuk hendaklah menjadikan kepelbagaian dan perbezan sebagai kekuatan dan bukan perbalahan.

“Negara kita, Malaysia harus terus aman dan damai tanpa konflik agar rakyat dapat menikmati pembangunan yang berterusan,” katanya. – SabahNewsToday