Pilih Bahasa

Kerajaan Gabungan Sabah pastikan kerusi Parlimen Sandakan kekal milik DAP

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama gabungan parti yang memerintah akan berusaha memastikan kerusi Parlimen Sandakan akan terus kekal memihak kepada kerajaan negeri hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha yang dilakukan itu termasuk mendekati dan mendampingi para pengundi di kawasan berkenaan agar terus bersama-sama menyokong kerajaan negeri era baharu.

“Kita perlu mendampingi mereka (pengundi) untuk memastikan supaya kita dapat menjelaskan isu-isu tertentu walaupun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hampir setahun berlalu.

Mohd Shafie menandatangan plak menandakan perasmian Borneo Textile Craft Festival di Suria Sabah. Turut bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Mohamaddin Ketapi (kiri) dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail (dua dari kiri). Gambar SNT/Ihsan JKM

“Kita juga sedar apa yang kita alami hari ini daripada segi kemerosotan ekonomi dan tanggungan hutang yang banyak adalah daripada kerajaan terdahulu dan ia perlu dihadapi oleh kerajaan sekarang.

“Harus difahami keadaan ketika ini terutama perancangan yang kita sediakan mungkin mengambil masa tapi kita yakin akan berusaha untuk memastikan kita dapat menjelaskan kepada para pengundi Sandakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai keyakinan untuk mengekalkan kemenangan calon Dap di situ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tewas dalam tiga PRK lalu.

Semalam PH turut kecundang dalam PRK Dun Rantau yang menyaksikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Hassan menewaskan calon PH, Dr Streram dengan majoriti undi 4,510.

PRK Parlimen Sandakan diadakan ekoran penyandangnya iaitu bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, mendiang Datuk Stephen Wong, 65, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada akhir bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan merangkap Presiden Dap Lim Guan Eng berhubung pemilihan calon dan langkah seterusnya sebagai persediaan menghadapi PRK tersebut. – SabahNewsToday