Pilih Bahasa

KERAJAAN GESA LEBIH BANYAK ORGANISASI JALANKAN CSR, BEKALKAN AIR BERSIH

Oleh Alfred Petrus

Christina (empat kiri) menyempurnakan gimik perasmian majlis berkenaan. – Gambar SNT/Alfred Petrus


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggesa syarikat, organisasi mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam membekalkan air alternatif kepada masyarakat yang memerlukan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha seumpama itu selaras dengan usaha kerajaan dalam membangun infrastruktur dan menjaga kebajikan rakyat Sabah.

Katanya beliau sedar bahawa bekalan air yang konsisten masih menjadi isu di beberapa kawasan luar bandar seluruh negeri.

“Namun, bila kita beralih tumpuan kita kepada pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi, kita mudah untuk menyediakan kemudahan asas yang penting kepada rakyat dengan lebih berkesan.

“Kerajaan negeri juga telah menyediakan satu pelan komprehensif yang mengutamakan pembangunan dan penyediaan bekalan air di Sabah.

“Tumpuan kami tahun ini adalah untuk memacu pertumbuhan rakyat iaitu bagi meningkatkan kualiti, liputan dan bekalan air terawat ke kawasan pedalaman di seluruh negeri,” katanya ketika berucap dalam majlis ‘Menyalurkan Bekalan Air Bersih Kepada Komuniti’ di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew.

Mohd Shafie berharap dengan meningkatkan kapasiti bekalan air dan menyediakan akses kepada air minum terutama di kampung-kampung terpencil di seluruh negeri, rakyat Sabah akan dapat menikmati akses air bersih untuk menjalankan rutin harian.

“Saya gembira bahawa perubahan yang baik telah bermula perlahan-lahan di negeri ini dan kemajuan positif jelas kelihatan.

“Hari ini kita menyaksikan pencapaian CSR Heineken dan Yayasan Spark dengan kerjasama stesen radio tempatan Kupi Kupi FM dalam membina sistem air graviti yang mampu menyalurkan air bersih kepada 450 isi rumah di Kampung Gana Kota Marudu dan Sistem Tuaian Hujan di Kampung Minawo Seberang Keningau serta Kampung Sinopukan Kota Belud dengan memberi manfaat kepada 30 isi rumah.

“Secara keseluruhannya, kira-kira 3,000 orang menikmati akses kepada air yang boleh diminum dan digunakan ini,” katanya.

Terdahulu, tambahnya Yayasan Spark dan Kupi Kupi FM juga telah bekerjasama dalam membina Sistem Tuaian Hujan kepada penduduk Kampung Nagasiba Bahang, Kampung Koidupan Penampang dan Kampung Pinawantai Kudat.

“Saya gembira kerana sektor swasta menunjukkan komitmen mereka untuk membantu masyarakat dalam memperkasakan dan membangunkan infrastruktur asas untuk mereka serta banyak lagi bagi memacu pertumbuhan untuk rakyat,” jelasnya. – SabahNewsToday