Pilih Bahasa

KERAJAAN GESA PEMAJU GUNA KAEDAH IBS BINA RUMAH MAMPU MILIK

Oleh Alfred Petrus

Jaujan (tengah) mengetuai gimik perasmian Majlis Pelancaran Rumah Contoh berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

TUARAN: Kerajaan menggesa kepada pemaju perumahan untuk memberi penekanan dalam pembinaan menggunakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata dengan pembinaan menggunakan kaedah IBS, mampu memberikan suasana perumahan yang hijau, bersih, selamat dan selesa kepada pembeli-pembeli rumah masa kini.

Jaujan (dua dari kanan) bersama dengan Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) Tan Sri Wences Angang (tengah) berbincang sesuatu semasa acara perasmian. Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya penggunaan kaedah IBS juga adalah amat disarankan oleh kerajaan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kerana kaedah tersebut akan dapat memudahkan dan juga menjimatkan masa pembinaan perumahan.

“Ia turut membantu rakyat kawasan tuaran dan luar daerah untuk mendapatkan rumah mampu milik mereka melalui pembinaan IBS ini,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Rumah Contoh Taman Sri Lemawang di sini pada Ahad.

Sementara itu, Jaujan berkata, sepertimana di dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dalam bidang keberhasilan negeri, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) telah menetapkan 90 keluarga golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pada 2019 melalui Skim Pinjaman Perumahan Goongan Berpendapatan Rendah (SPPUGBR).

Selain itu, jelasnya sebanyak 132 buah rumah akan dibina untuk Program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) tahun yang sama.

“Ini menunjukkan kepada kita semua bahawa pentingnya untuk membuat lebih banyak rumah mampu milik untuk dimiliki oleh semua masyarakat yang mempunyai pendapatan yang rendah.

“Secara tidak langsung akan dapat merialisasikan impian kerajaan untuk memastikan masyarakat dapat memiliki rumah sendiri dengan kadar mampu milik mereka masing-masing.

“KKTP juga berusaha untuk mempertingkatkan kualiti kesejahteraan rakyat dan akan memulakan dua program Perumahan Rakyat (PPR) mulai 2019,” katanya.

Tambahnya KKTP juga telah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu setinggan melalui usaha penempatan semula perumahan setinggan.

Sehubungan itu, jelasnya KKTP akan mewujudkan sistem maklumat setinggan sebagai rujukan agensi kerajaan dalam membuat polisi dan perancangan yang baik. -SabahNewsToday