Pilih Bahasa

KERAJAAN HARGAI USAHA MEMARTABATKAN BAHASA IBUNDA MELALUI PENULISAN DAN PENERBITAN BUKU

Oleh Alfred Petrus

Ewon (tengah) menerima buku tersebut daripada Rosliah. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

TANJUNG MALIM: Kerajaan Sabah sentiasa menghargai usaha memartabatkan bahasa Ibunda melalui penulisan dan penerbitan buku, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata usaha untuk memartabatkan bahasa Ibunda etnik-etnik Sabah sama penting dengan memperkasakan diri melalui penguasaan bahasa antarabangsa dan bahasa kebangsaan. 

“Sebab itu, sejak dahulu saya konsisten memberi sokongan ke atas usaha yang diambil oleh pelbagai pihak terutamanya para pensyarah, guru dan mahasiswa bagi memperkasakan bahasa Kadazandusun yang menjadi salah satu subjek dalam sistem pendidikan negara.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pensyarah Pengajian Bahasa Kadazandusun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Dr. Rosliah Kiting kerana berjaya menghimpunkan 57 karya cerita etnik Kadazandusun dari seluruh Sabah dan dibukukan.

Ewon (belakang tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pelajar Program Bahasa Kadazandusun Upsi. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada penerbitan buku ini dan berharap lebih banyak lagi usaha sebegini dapat dilaksanakan,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan para pensyarah dan mahasiswa pengajian Bahasan Kadazandusun di Upsi di sini hari ini.

Dalam perjumpaan tersebut, Rosliah menyampaikan buku ‘Tangga Burisan om Tangon Kadazandusun’ kepada Ewon sebagai simbolik pelancaran.

Bagi tujuan pembiayaan kos penerbitan buku-buku tersebut, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian dan Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) telah menyumbangkan peruntukan khas touchpoints sebanyak RM10,000 bagi tujuan itu pada tahun lalu.

“Upko telah berjuang memastikan pengajian dan pembelajaran bahasa Kadazandusun terus berada dalam sistem pendidikan negara. 

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab saya agar ia dapat terus dimantapkan dan diperkasakan di peringkat sekolah sehingga ke universiti,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen sokongan kepada beberapa lagi program yang akan dianjurkan oleh pelajar Program Bahasa Kadazandusun Upsi termasuk penganjuran Seminar Antarabangsa Kesusasteraan dan Kebudayaan Borneo dan Sambutan Kaamatan Upsi tahun ini. – SabahNewsToday