Pilih Bahasa

Kerajaan jamin artifak bersejarah Sabah dipelihara, baik pulih

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Christina (tengah) memotong riben sebagai simbolik perasmian pameran pelancongan MITM di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan akan terus memperbaiki infrastruktur pelancongan dan alam sekitar untuk kemudahan serta keselesaan pelancong semasa berkunjung ke negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata memandang industri pelancongan semakin mencabar dan komprehensif pada masa ini usaha meningkatkan kualiti kemudahan tersebut merupakan satu keperluan yang penting.

“Ia termasuk artifak-artifak bersejarah unik yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah dilihat perlu dipulihkan dan dikekalkan sebagai sumber tatapan buat pelancong bahawa itu adalah budaya tradisional kita.

“Secara tidak langsung inisiatif ini dapat memperkenalkan lagi Sabah ke dunia luar sebagai destinasi pelancongan terkenal dan perlu dilawati,” katanya dalam ucapan perasmian Pameran Pelancongan Antarabangsa Malaysia 2019 (MITM) Ke-4 di sini semalam.

Christina (kanan) berucap pada pameran MITM di Wisma Karamunsing, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Pameran itu dianjurkan oleh Persatuan Pelancongan Cina Malaysia Cawangan Negeri Sabah (MCTA).

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata Sabah sebagai salah satu pintu masuk antarabangsa ke Malaysia merupakan destinasi paling popular bagi pelancong luar negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau menambah kekayaan alam semulajadi dan kepelbagaian budaya yang unik di Sabah bukan sahaja menjadikan negeri itu sebagai destinasi pilihan malah ia turut memberikan kesan baik kepada para pengunjung.

Sebagai contoh katanya lagi, ramai pelancong luar yang beberapa kali menjejakkan kaki ke Negeri Bawah Bayu ini memilih Sabah sebagai kediaman tetap melalui projek rumah kedua di Malaysia.

Mengenai pameran itu, Christina berharap agar MTCA Sabah akan terus memainkan untuk menyatukan industri pelancongan di negeri ini. – SabahNewsToday