Pilih Bahasa

Kerajaan komited dalam Pembangunan Mampan: Yeo Bee Yin

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan berkomitmen dalam Pembangunan Mampan yang telah diselaraskan dengan strategi dan inisiatif Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata melalui Penilaian Terkini Pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2018, ia meliputi 17 matlamat, 169 sasaran dan 244 penilaian.

Isnaraissah (depan tengah) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu dan peserta simposium berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Jelasnya ia bertujuan untuk mengukur pencapaian pembangunan sejagat yang terdiri daripada aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar seluruh negara.

“Dengan tema “Leaving No One Behind”, memberi tumpuan kepada pembangunan 5P iaitu Penduduk, Planet, Kemakmuran, Keamanan dan Rakan Kongsi.

“Oleh itu, ketersediaan pengukur SDG ini adalah asas dalam mengukur dan mengawasi kedudukan negara agar sentiasa berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat pembangunan mampan,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Bioteknologi Keenam 2019 di Pasifik Sutera Harbour, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Tambahnya negara memulakan perjalananya terhadap pembangunan mampan sejak 1970 apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidakseimbangan masyarakat.

Menurutnya kesemua rancangan pembangunan negara lima tahun yang lalu telah menekankan elemen pembangunan mampan seperti mengekalkan alam sekitar.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa perbahasan umum sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York menyatakan bahawa kita di Malaysia menjaga alam sekitar.

“Seluas 48% negara kita masih diliputi dengan hutan hujan tropika yang belum diterokai kerana Malaysia komited dalam pembangunan mampan,” jelasnya. -SabahNewsToday

-Tamat