Pilih Bahasa

Kerajaan komited iktiraf budaya kerja cemerlang setiausaha seluruh negeri

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa komited dalam usaha dan mengiktiraf budaya kerja cemerlang yang disumbangkan oleh penjawat awam khususnya para setiausaha seluruh negeri.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Rosmadi Datu Sulai berkata penganjuran Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri (MSPA) setiap tahun menjadi platform kerajaan memberikan penghargaan kepada setiausaha seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Rosmadi Datu Sulai merasmikan Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri (MSPA) di Pasific Sutera Harbour. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ia juga sebagai satu platform bagi menghargai sumbangan serta jasa para setiausaha kepada pembangunan organisasi dan juga perkhidmatan awam khasnya.

“Penghargaan yang diberikan tidak hanya kepada para setiausaha bersara yang telah memberikan sumbangan besar dalam kemajuan dan pembangunan perkhidmatan awam negeri sewaktu mereka bertugas dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MSPA di Pasific Sutera Harbour, hari ini.

Antara setiausaha di jabatan kerajaan negeri yang hadir pada Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri (MSPA) di Pasific Sutera Harbour. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Justeru, beliau berharap seminar yang diadakan selama dua hari itu mampu memberikan ilmu yang boleh dimanfaatlan oleh para setiausaha dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan diri agar terus dapat memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada organisasi masing-masing.

Jelasnya melalui tema MSPA iaitu Membina ‘Rapport’ (hubungan) semestinya setiap Setiausaha perlu pembaharuan atau penjenamaan semula dalam perjawatan.

“Sebagai perkhidmatan awam yang berada di barisan hadapan, Setiausaha perlu memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.

“Disamping itu, dengan membina ‘rapport’ bukan sahaja dalam kalangan Setiausaha, tetapi juga melibatkan pelanggan, ketua dan rakan-rakan yang berada di dalam sesebuah organisasi.

“Setiausaha juga perlu membina hubungan antara sesama yang bertugas di kerajaan Persekutuan serta organisasi yang lain,” katanya. -SabahNewsToday