Pilih Bahasa

Kerajaan komited teruskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 – Mohamed Azmin

Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diumumkan sebagai Menteri Kanan – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam barisan kabinet baharu, menegaskan kerajaan Perikatan Nasional komited untuk meneruskan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). 

Menurut Mohamed Azmin yang sebelum ini menerajui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), WKB2030 penting dalam meletakkan negara di atas landasan pembangunan yang mampan dan inklusif.

“Kerajaan akan memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan menjaga kebajikan rakyat keseluruhannya,” katanya ketika mengulas pelantikan beliau dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. 

Mohamed Azmin, 55, merupakan bekas timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam gabungan PH di peringkat Persekutuan sebelum mengetuai sekumpulan 11 Ahli Parlimen PKR menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata beliau bersyukur kerana pembentukan jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional telah selesai dan mengucapkan tahniah kepada perdana menteri yang telah melaksanakan pembaharuan dan inovasi dalam struktur jemaah menteri agar lebih efisien, cekap dan berkesan.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri yang memberikan kepercayaan untuk beliau memegang satu daripada empat jawatan menteri kanan tersebut.

“Saya menyedari tanggungjawab yang saya galas adalah amat berat memandangkan persekitaran ekonomi dan perdagangan global yang mencabar. Apatah lagi, Malaysia akan menganjurkan Persidangan APEC 2020 yang bertemakan Kemakmuran Bersama dan bakal menjadi fokus penetapan hala tuju bagi kerjasama ekonomi dunia yang lebih dinamik dan terbuka.

“Saya dan pegawai-pegawai kementerian yang berkaitan akan menggembleng tenaga berpandukan aspirasi perdana menteri bagi menjayakan persidangan ini. Ini merupakan peluang bagi Malaysia untuk menampilkan agenda Kemakmuran Bersama sebagai penyelesaian pelbagai kemelut ekonomi dan sosial dunia,” katanya. 

Muhyiddin menamakan empat orang menteri kanan ketika mengumumkan Kabinetnya hari ini untuk memastikan ia sebuah Kabinet yang berfungsi serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus.

Selain Mohamed Azmin, menteri-menteri kanan itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

— BERNAMA