Pilih Bahasa

Kerajaan komited tingkatkan taraf ekonomi Kudat dan penduduk

Oleh Zakaria Damit

KUDAT: Kerajaan komited dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk Kudat dan mengangkat daerah ini menjadi sebuah bandar yang maju di masa hadapan.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri (MTI), Ben Chong berkata pelbagai cara sedang dirangka untuk memastikan usaha ini dapat direalisasikan dengan efektif.

Ben mendengar penerangan daripada seorang pemgusaha. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Tanjung Kapor

Terbaru, satu usahasama antara kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan telah dibentuk untuk mencari formula terbaik membantu pengusaha Small Medium Enterprise (SME) yang berpengkalan di Kudat.

“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) , Datuk Darell Leiking kerana menghantar Pegawai Khas beliau, Christopher Masudal ke Kudat untuk mengenal pasti kelemahan yang telah membantutkan peningkatan pengusaha SME.

“Lawatan Kerja ke beberapa pengusaha SME telah dilakukan oleh Christopher bersama dengan saya, Pegawai-Pegawai agensi kerajaan Kudat dan peniaga-peniaga SME pada Rabu lepas.” kata Ben.

Turut sama ialah Pengerusi Industri Simen Sabah (CIS), Terence Siambun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor itu menambah lawatan itu turut menyelami permasalahan pengusaha SME ini yang masih belum mampu menjalankan perniagaan mereka secara berkesan.

Salah satu aspek yang menggagalkan mereka ialah kelemahan dari segi strategi pemasaran dan kebergantungan terhadap subsidi/peruntukan dan bantuan dari kerajaan.

Menurut Ben, setiap pengusaha SME sudah menyertai banyak kursus keusahawanan yang telah diadakan oleh kerajaan tapi masih gagal.

Kerajaan akan terus memahami mereka dan akan cuba bantu agar mereka boleh teruskan perniagaan tersebut.

Ben dan rombongan sedang mendengar taklimat dari salah seorang pengusaha SME Kudat. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Tanjung Kapor

“Walau bagaimana pun, pengusaha SME ini harus  berani membuat pelaburan memasarkan produk mereka secara meluas.

“Mereka tidak boleh terlalu mengharapkan bantuan dari kerajaan semata-mata dan harus belajar berdikari selepas bantuan terdahulu telah diberikan oleh kerajaan dari segi pinjaman, bimbingan menjalankan perniagaan mereka dan menyediakan tempat untuk mereka beroperasi.” jelas Ben.

Usaha berterusan dari kerajaan, menurut Ben, akan dijalankan untuk membantu mana-mana pihak yang ingin menceburi bidang perniagaan SME.

Sebagai wakil rakyat, Ben bertanggung jawap penuh memastikan taraf ekonomi penduduk di kawasan beliau dapat dipertingkatkan melalui pelbagai bidang.

Beliau dan rombongan juga sempat melawat tapak cadangan Taman Perindustrian Kudat (TPK) yang terletak di Limau-Limauan.

Kawasan ini amat strategik dan berpotensi besar pembangunan ekonomi Kudat secara mampan kerana berdekatan dengan cadangan tapak pelabuhan baharu.

Pelabuhan baharu itu merupakan salah satu manifesto Parti Warisan Sabah.

Pengumuman telah dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal pada Februari lepas.

Untuk merealisasikan TPK ini, kerajaan komited dalam penyediaan prasarana seperti bekalan air dan elektrik yang mencukupi.

Selain itu, jaringan jalan raya yang lebih kondusif dengan menaik taraf jalan yang sedia ada bersesuaian dengan kegunaan jentera berat yang pasti akan melalui kawasan tersebut, turut berada dalam perancangan kerajaan negeri.

“Sebab itulah saya telah berusaha merealisasikan projek Bekalan Air dan Elektrik ke kawasan ini yang selama ini tidak pernah diadakan.

“Inilah inisiatif kerajaan baharu bukan sahaja untuk memberi kemudahan asas kepada penduduk persekitaran yang telah lama menantikan bekalan air tapi turut akan menyokong pembinaan TPK di mana penduduk persekitaran juga akan mendapat impak positif.” jelas Ben.

Sementara itu, Christopher yang telah diarahkan oleh Darell untuk membantu Ben, telah mengenal pasti beberapa jenis perniagaan yang boleh dijadikan produk Daerah Kudat.

Menurut beliau, Kudat berpotensi besar untuk memasarkan produk berasaskan ikan masin dan ikan bilis untuk pasaran nasional dan antarabangsa.

“Begitu juga dengan produk makanan ringan seperti Kacang Tanah Kudat Dan Keropok Udang Kudat; ini semua produk-produk terkenal dari Kudat dan perlu dipromosikan secara meluas.”

“Walau bagaimana pun, satu pengkalan data harus disediakan untuk mengenal pasti pengusaha-pengusaha SME yang berdaftar di Daerah ini, ” ujar beliau.

Christopher menambah, sekarang ini Pejabat Daerah tidak mempunyai pangkalan data tersebut sedangkan terdapat ramai peniaga kecil dan sederhana sedang beroperasi di Kudat.

“Untuk memastikan peniaga-peniaga kecil dan sederhana Kudat berjaya, kita kena merangka pelan pemasaran produk-produk dari daerah ini ke pasaran antarabangsa,”

Christopher membayangkan usaha kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam pelan pembangunan industri di Kudat serta promosi hasil tangan penduduk Kudat di beberapa buah negara seperti China, Filipina, Indonesia dan Jepun.

Namun, beliau akan pastikan setiap produk yang mempunyai permintaan di luar negara dapat dimantapkan terlebih dahulu.

Berkenaan dengan TPK, Christopher bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Ben dalam memastikan infrastuktur asas disediakan terlebih dahulu.

“Saya lihat TPK mempunyai potensi yang cukup besar untuk meningkatkan ekonomi Kudat bila mula beroperasi nanti,” ujar Christopher.

Berdasarkan kepada komitmen daripada kerajaan negeri, beliau percaya satu hari nanti Kudat mampu berjaya menjadi salah satu bandar industri utama Sabah -SabahNewsToday