Pilih Bahasa

Kerajaan lulus RM10.8 juta beli alat perubatan, bina blok baharu HDOK

Lim Guan Eng (Gambar fail) – Bernama

SANDAKAN, 27 Mei (Bernama) — Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10.8 juta untuk tujuan pembelian alat perubatan hospital dan pembinaan blok baharu Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata daripada jumlah itu, pembelian alat perubatan hospital sebanyak RM7.4 juta bagi menggantikan alat perubatan dan kelengkapan hospital yang rosak, manakala kos pembangunan sebanyak RM3.4 juta pula bagi pembinaan bangunan rekod perubatan serta klinik telinga, hidung dan tekak (ENT) yang baharu.

“Peruntukan tersebut terdiri daripada RM6 juta daripada Kementerian Kewangan dan RM4.8 juta daripada Kementerian Kesihatan.

“Selain memperbaiki kemudahan hospital, peruntukan ini untuk pembelian alat perubatan yang diperlukan hospital tersebut seperti pembelian dan renovasi untuk mesin imbasan magnetik resonan (MRI) yang dijangka siap tahun depan (2020) bernilai RM3 juta, sebuah mesin ultrabunyi mudah alih bernilai RM300,000 dan dua buah set kraniotomi bernilai RM500,000,” katanya.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan mesra bersama anggota Parlimen Sandakan Vivian Wong di Pasar Elopura di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Mengenai masalah parkir kenderaan di hospital berkenaan, Menteri Kewangan itu berkata kerajaan memutuskan pembinaan bangunan untuk parkir kenderaan akan dilakukan secara penswastaan menerusi Kementerian Kesihatan.

Katanya, tapak tanah sedang dikenal pasti dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama wakil-wakil rakyat Parlimen Sandakan dan Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat serta Elopura.

“Kelulusan peruntukan ini diharap dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada para pesakit, sekali gus meningkatkan kualiti hidup lebih 400,000 penduduk di daerah Sandakan.

“Ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk berkongsi kemakmuran dan memastikan akses kepada perkhidmatan perubatan yang diperlukan disediakan untuk lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA