Pilih Bahasa

KERAJAAN MAHU PERTANDINGAN TARIAN BERTARAF DUNIA JADI PLATFORM PROMOSI SABAH

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Presiden TOBISA, Muji NC Ampau (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Jenifer Lasimbang pada majlis perasmian Acara Dance World Cup: Malaysian Qualifier 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Penganjur pertandingan tarian bertaraf dunia di negeri ini diminta menarik lebih banyak penyertaan daripada negara luar sebagai usaha mempromosikan industri pelancongan di Sabah menerusi kebudayaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah memilik keindahan flora dan fauna yang begitu terkenal dalam kalangan pencinta alam tempatan mahupun luar negara.

Jenifer Lasimbang meletakkan tombak ke dalam wakid sebagai simbol perasmian acara Dance World Cup: Malaysian Qualifier 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Mohd Shafie berkata melalui penyertaan peserta luar dalam pertandingan seumpama ini, pastinya ia secara tidak langsung memperkenalkan kecantikan alam, budaya, dan lokasi menarik tarikan pelancong yang terdapat di negeri berkenaan.

“Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap sebarang usaha memartabatkan  serta mengharumkan nama negara agar semakin dikenali di peringkat global khasnya dalam dunia persembahan kreatif.

“Kita sedar bukan satu tugas mudah untuk mengadakan penganjuran acara besar seumpama ini namun saya meletakkan harapan tinggi kepada semua pihak berkaitan khususnya Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA) dan rakan penganjur lain dalam acara ini.

“Saya berharap usaha ini dapt diteruskan pada masa hadapan serta dijadikan acara tahunan agar boleh menjadi platform untuk generasi muda mengasah bakat dalam bidang tarian,” katanya ketika berucap sempena perasmian pembukaan Acara Dance World Cup: Malaysian Qualifier 2019 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang.

Dianjurkan buat kali kedua, Acara Dance World Cup: Malaysian Qualifier 2019 disertai oleh kira-kira 287 peserta daripada 23 pasukan terdiri murid sekolah rendah, menengah dan orang dewasa daripada seluruh negara.

Sebanyak 53 kategori dipertandingkan pada acara pemilihan yang berlangsung selama dua bermula 9 dan 10 Februari itu.

Antara kategori dipertandingkan termasuklah mini solo hip hop, junior solo modern, senior duo trio national dan children solo ballet.

Semua peserta yang memenangi pertandingan terbabit bakal berentap di peringkat antarabangsa pada 28 Jun sehingga 6 Julai hadapan di Braga, Portugal. – SabahNews Today