Pilih Bahasa

Kerajaan negeri akan bayar gaji pekerja SFI

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

SIPITANG: Kerajaan negeri bersedia menampung pembiayaan gaji pekerja Sabah Forestry Industries (SFI) meskipun syarikat tersebut bukan lagi milik sepenuhnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kerajaan negeri hanya memegang dua peratus saham sahaja dalam SFI namun bersedia membantu ribuan pekerja SFI yang menghadapi masalah pembayaran gaji ekoran syarikat itu telah diisytiharkan sebagai muflis.

Mohd Shafie dan isteri disambut semasa ketibaan di Padang Top Ten Sipitang pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Kita tidak boleh biarkan pekerja-pekerja SFI tidak dibayar gaji, justeru kerajaan negeri memutuskan untuk membayar gaji pekerja tersebut dan apabila ada pihak yang mengambil alih semula syarikat ini mereka perlu membayar semula kepada kerajaan negeri.

“SFI kena disusun atur mengikut sistem perundangan yang ada kerana kita tidak mahu ada pihak mendapat untung tapi kerajaan tidak mendapat manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Buah-Buahan di Padang Top Ten Sipitang yang turut dihadiri Menteri Pelajaran dan Inovasi merangkap Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Mohd Shafie bersama Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ahli jemaah menteri Sabah di pelancaran Festival Buah-Buahan Sipitang. Gambar SNT/Ihsan JKM

Mohd Shafie diminta mengulas ucapan beliau berkaitan isu SFI yang mengalami kerugian sehingga menjejaskan pembayarsn gaji para pekerjanya.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu membayar sejumlah RM2 bilion sekiranya ingin mengambil alih semula SFI sepenuhnya.

Menurutnya sebuah pasukan telah dibentuk untuk memastikan peranan kerajaan negeri dalam syarikat konsesi itu.

“Saya janji berusaha untuk baik pulih SFI dan berharap pekerja SFI bersabar kerana apa yang kita hendak kejayaan untuk semua pihak,” ujarnya sambil menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk menyelesaikan isu berkaitan syarikat itu. – SabahNewsToday