Pilih Bahasa

Kerajaan negeri akan cari jalan penyelesaian projek jejantas terbengkalai

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membincangkan penyelesaian bersama dengan Jabatan Peguam Negeri berhubung status projek jejantas KK Skybridge yang terbengkalai.

Sebahagian daripada KK Skybridge di antara pusat beli belah Centre Point dan Api-Api Centre. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali berkata kerajaan negeri bersama jabatan terbabit akan menyelesaikan beberapa isu yang membuatkan status projek tergendala.

“Beri kami tempoh dalam masa dua atau tiga bulan lagi bagi menyelesaikan masalah ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali ditemui pemberita selepas perasmian KK Sentral hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Biarkan mereka membuat banyak aduan. Kerajaan lebih suka dinilai berdasarkan dengan prestasi dan apa yang dalam disampaikan kepada rakyat,” katanya ketika diminta mengulas berhubung laporan oleh pihak pembangkang di negeri ini yang mendakwa kerajaan kini tidak melakukan sebarang tindakan terhadap projek KK SkyBridge.

KK SkyBridge merupakan jejantas berhawa dingin yang telah siap hampir 95 peratus dan akan menghubungkan pusat beli belah utama dan pusat komersial di sini.

Jejantas KK Skybridge sudah siap tetapi tidak dapat digunakan berikutan faktor termasuk kedudukan kewangan pihak pemaju. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Projek berkenaan telah siap hampir setahun lalu dan masih belum beroperasi disebabkan beberapa faktor termasuk insolvensi pihak pemaju yang hanya menerima 35 peratus daripada jumlah kontrak projek dan meninggalkan baki hampir RM20 juta.-SabahNewsToday