Pilih Bahasa

Kerajaan Negeri ambil pendekatan ‘consultation’ dan bukan ‘confrontation’ dalam isu Pemberian Khas persekutuan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak berhasrat mengambil pendekatan secara controntation  melalui tindakan undang-undang dalam menuntut hak-hak berhubung dengan isu Pemberian Khas dari Kerajaan Persekutuan dan juga berkenaan isu-isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kerajaan Negeri bersetuju bahawa hal-hal di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan adalah jelas pada maksudnya dan hendaklah dihormati, namun Kerajaan Negeri mengambil pendekatan perundingan dalam hal ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau sebelum sidang DUN di Dewan Undangan Negeri Sabah, Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan belanjawan 2020 bagi Jabatan Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri semalam.

Beliau berkata terdapat peruntukan di bawah Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan bahawa sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak dapat mencapai persetujuan atas apa-apa perkara, maka perkara itu hendaklah dirujukkan kepada penaksir bebas, dan syor penaksir bebas mengenai perkara itu hendaklah mengikat kerajaan yang berkenaan itu dan hendaklah dilaksanakan seolah-olah syor itu ialah persetujuan antara kerajaan itu.

Shafie berkata perintah ulangkaji pertama telah dibuat pada tahun 1970 iaitu Perintah Pemberian Khas Sabah (Ulangkaji Pertama) 1970 bagi tempoh lima tahun bagi tahun 1969, 1970, 1971, 1972 dan 1973 masing-masing ialah RM20 juta, RM21.5 juta, RM23.1 juta, RM24.8 juta dan RM26.7 juta.

“Berhubung dengan saranan tindakan di bawah undang-undang, peruntukan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Malaysia … Kerajaan Negeri mengambil pendekatan secara consultation dan bukan secara confrontation,” katanya

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri dalam ucapan Belanjawan Negeri 2020 mereka menyarankan agar Kerajaan Negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Pusat kerana gagal memberikan hak Sabah seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Pasukan khas Kedutaan Filipina

Sementara itu, Shafie berkata kehadiran satu pasukan khas kedutaan Filipina di Malaysia (Mobile Counselor) di sini baru-baru ini untuk tujuan pembaharuan pasport, urusan pasport hilang, pendaftaran perkahwinan dan kelahiran dan pengesahan dokumen rasmi negara berkenaan merupakan hasil perbincangan antara beliau dengan Duta Filipina ke Malaysia.

Menjawab cadangan Adun Tamparuli, Datuk Jahid Jahim  supaya Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kedutaan Filipina dalam membantu mendaftar penduduk Filipina tidak berdokumen supaya mendapatkan dokumen yang sah, beliau berkata:

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Tamparuli, pada dasarnya Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah melaksanakan perancangan strategik dalam menangani isu tersebut.”

Antaranya ialah sesi kerjasama dua hala oleh kedua belah pihak melalui kunjungan hormat Duta Filipina ke Malaysia kepada Ketua Menteri Sabah pada Februari tahun ini.

“Kejadian yang berlaku di Luyang adalah perkara yang amat dikesali oleh pihak kerajaan negeri. Perkara ini telah dibincangkan pada pertemuan kali kedua kunjungan hormat Tuan Yang Terutama Duta Filipina ke Malaysia kepada YAB Ketua Menteri Sabah pada 22 Oktober 2019.

“Sehubungan itu, hasil perbincangan pada pertemuan kedua ini telah dipersetujui agar aktiviti yang dilaksanakan oleh pasukan Mobile Counselor Filipina tidak dilaksanakan di premis yang berada di kawasan perumahan,” katanya.

Tanjung Aru Eco-Development

Mengenai isu Tanjung Aru Eco-Development (TAED), Shafie berkata dari segi pemilikan, hanya 30 peratus atau 39 lot daripada kawasan tersebut akan dijual dan dibangunkan oleh pihak pelabur yang berminat.

Manakala 70 peratus daripada kawasan tanah TAED yang merangkumi kawasan pantai, taman, rizab dan ruang awam akan dikekalkan di bawah kawalan pihak berkuasa Kerajaan Negeri, katanya.

Pelan pembangunan TAED juga kekal seperti mana yang telah diluluskan oleh Kabinet Negeri pada 15 November, 2017 dan telah diperkenan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah pada 5 Mac, 2018.-SabahNewsToday