Pilih Bahasa

Kerajaan Negeri bentang Belanjawan RM4.14 bilion bagi tahun 2020; Royalti Petroleum sumbang RM1.7 bilion

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan sejumlah RM4.14 bilion bagi perbelanjaan pembangunan negeri ini pada tahun depan.

Jumlah perbelanjaan itu dicadangkan berbanding anggaran kutipan hasil kerajaan negeri sebanyak RM4.19 juta dengan bajet lebihan berjumlah RM48.55 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menunjukkan buku ucapan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Semasa membentangkan Belanjawan Negeri 2020 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, Mohd Shafie berkata anggaran hasil negeri pada 2020 terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Hasil Cukai (RM1.03 juta atau 24.61 peratus), Hasil Bukan Cukai (RM2.6 juta atau 64.34 peratus) dan Terimaan Bukan Hasil iaitu RM463.3 juta atau 11.05 peratus.

Menurut beliau belanjawaan bertemakan `Merancakkan Pembangunan Untuk Kesejahteraan Rakyat’ itu tersebut dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen kerajaan dalam melonjakkan dan mempercepatkan lagi kadar pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“Bagi merealisasikan matlamat tema dan fokus bajet tersebut pada tahun depan kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM4.14 bilion berbanding kutipan hasil sebanyak RM4.19 bilion dengan bajet lebihan atau `Surplus Budget’ berjumlah RM48.55 juta.

“Dengan bajet lebihan itu menunjukkan kedudukan kewangan Sabah kekal dalam kedudukan sihat dan stabil meskipun anggaran kutipan hasil melibatkan penurunan sebanyak RM72.6 juta atau 1.17 peratus berbanding anggaran asal berjumlah RM4.2 bilion,” katanya.

Jelas beliau sejajar dengan tema belanjawan itu kerajaan negeri mengagihkan sumber kewangan untuk tahun depan bagi mencapai matlamat strategi dan bidang-bidang yang akan diberikan fokus iaitu meningkatkan kecekapan dan sistem penyampaian kerajaan negeri, menangani ketidakseimbangan sosio ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendekatan iklusif.

Fokus turut diberikan bagi mempercepatkan pembangunan sektor-sektor produktif termasuk menarik pelaburan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan negeri, memperkasakan pembangunan modal insan melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran, produktiviti serta inovasi dan meningkatkan pembangunan pembolehdaya seperti ICT, infrastruktur asas fizikal, utiliti dan kemudahan awam bagi menyokong pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Royalti Petroleum dianggar RM1.7 bilion

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata royalti Petroleum dijangkakan kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada hasil negeri untuk tahun 2020 dengan anggaran sebanyak RM1.7 bilion.

Beliau berkata jumlah itu menyumbang sebanyak 40.55 peratus kepada keseluruhan anggaran hasil negeri pada tahun depan dan ia adalah berdasarkan bayaran diterima daripada Petronas bagi 2019 sebanyak RM1.7 bilion.

Katanya jumlah royalti berkenaan merupakan yang tertinggi dalam sejarah Sabah setakat ini.

Sementara itu bagi cukai jualan minyak sawit mentah (CPO), ia merupakan peneraju bagi kategori Hasil Cukai dan cukai itu kekal sebagai sumber hasil kedua tertinggi dengan menyumbang sekitar 19.68 peratus kepada keseluruhan hasil negeri tahun depan.

“Namun harga komoditi ini telah jatuh ke paras RM1,900 per tan metrik dan menjejaskan kutipan cukai negeri. Oleh itu anggaran asal kutipan cukai daripada punca ini sebanyak RM900 juta telah disemak kepada RM750 untuk tahun ini.

“Untuk tahun depan harga CPO dijangka boleh mencapai sekurang-kurangnya RM2,200 per tan metrik dengan pengeluaran CPO tidak kurang daripada lima juga tan metrik.

“Berdasarkan unjuran tersebut maka jangkaan jumlah kutipan hasil sumber ini pada tahun depan ialah RM825 juta,” katanya.

Anggaran kutipan hasil tahun 2020 bagi Cukai Jualan Negeri ke atas tiket loteri dijangka kekal sama dengan anggaran tahun ini iaitu sebanyak RM60 juta manakala jumlah kutipan hasil daripada cukai jualan mesin slot akan menurun secara drastik daripada RM18 juta kepada RM1.5 juta sahaja berikutan polisi kerajaan negeri hari ini untuk menghentikan kegiatan judi atau pertaruhan melalui mesin slot.

Mohd Shafie berkata bagi Perintah Cukai Jualan Negeri (Kadar Cukai) 2014 yang membenarkan cukai ke atas komoditi perikanan yang dibawa keluar daripada Sabah telah diwartakan sebelum ini namun kutipan cukai tersebut belum lagi dapat dilaksanakan pada tahun ini disebabkankoleh keputusan kerajaan negeri untuk mengkaji dan memperhalusi semula jenis-jenis ikan yang akan dikenakan cukai jualan.

Sebagai kerajaan yang prihatin, katanya semakan telah dibuat kepada pengenaan Cukai Jualan Negeri ke atas komoditi perikanan yang dibawa keluar daripada Sabah.

Di samping itu, sejajar dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan pembangunan industri akuakultur, pengecualian cukai jualan negeri adalah diberikan ke atas komoditi akuakultur seperti ikan hidup dan udang laut yang diternak.

“Dengan itu, kerajaan menganggarkan sekurang-kurang RM10 juta mampu dikutip, apabila cukai ini mula dikenakan pada tahun hadapan manakala di bawah Terimaan Bukan Hasil iaitu Terimaan dan sumbangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2020, terimaan ini dijangka menyumbang sebanyak RM463.2 juta atau 11.05 peratus daripada jumlah keseluruhan Anggaran Hasil Negeri Tahun 2020.

“Antara lain contoh terimaan ini ialah Pemberian Mengikut Kepala dan Pemberian Bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus Bagi Jabatan-jabatan Di bawah Senarai Bersama dan Pemberian Pelancongan yang kita mula terima pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata anggaran hasil yang ditetapkan bagi Jabatan Air Negeri Sabah pada tahun depan ialah RM305.6 juta atau 7.29 peratus daripada jumlah keseluruhan anggaran hasil tahun tersebut manakala sasaran kutipan hasil Jabatan Tanah dan Ukur pada tahun 2020 pula ialah RM300 juta.

Katanya jumlah itu yang merupakan 7.16 peratus daripada keseluruhan jumlah anggaran hasil tahun 2020 manakala, hasil daripada Jabatan Perhutanan dianggarkan berjumlah RM130.1 juta atau mewakili 3.13 peratus daripada jumlah keseluruhan anggaran hasil pada tahun 2020.

Beliau menjelaskan jumlah itu berkurang sebanyak 12.9 peratus berbanding anggaran tahun 2019 berjumlah RM149.5 juta.

“Antara faktor utama yang menyumbang kepada penurunan tersebut ialah polisi kerajaan negeri yang mengharamkan eksport balak bermula pada 23 Mei 2018; pengeluaran balak yang rendah; pulangan royalti agro-forestry yang rendah akibat harga-harga komoditi utama negeri seperti kelapa sawit dan getah semasa yang menurun; serta pengimportan kayu yang dikenakan yuran pemeriksaan di bawah Enakmen Yuran telah berkurangan.

Sejak beberapa tahun lalu, katanya Jabatan Pelabuhan dan Dermaga telah menunjukkan usaha dan prestasi yang baik dalam kutipan hasil.

Dalam hal ini, anggaran asal hasil tahun 2019 bagi jabatan tersebut sebanyak RM45.4 juta telah disemak semula kepada RM50.0 juta dan dijangkakan jumlah ini dapat dikekalkan pada tahun 2020. Jabatan Hidupan Liar pula dijangka akan menyumbang sebanyak RM19.5 juta kepada anggaran hasil tahun 2020. – SabahNewsToday