Pilih Bahasa

Kerajaan negeri berikan kerjasama kepada KPN tingkat keupayaan keselamatan Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan kerajaan negeri sentiasa meningkatkan keupayaan keselamatan di kawasan perairan Sabah khususnya di pantai timur daripada ancaman militan Abu Sayyaf.

Beliau berkata langkah itu penting bagi kesiapsiagaan daripada segi pengawalan keselamatan penduduk terutama yang menetap di kawasan berkenaan serta pelancong.

Mohammad (tengah), Mohd Shafie (empat dari kanan), Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hashim Paijan bergambar kenangan bersama rombongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Ia (ancaman Abu Sayyaf) bukan baharu kerana di Sabah isu-isu seumpama ini bukan perkara asing bagi kita cuma yang penting kita tingkatkan keupayaan untuk menangani masalah ini apatahlagi Sabah merupakan destinasi tumpuan pelancong.

“Sehubungan itu saya akan memanggil bahagian keselamatan untuk pastikan Sabah adalah kawasan selamat dikunjungi pelancong,” katanya sebagai menjawab soalah wartawan mengenai keadaan keselamatan semasa di negeri itu.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diketuai Ketua Setiausahanya, Datuk Mohammad Mentek di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Mohd Shafie (kanan) dan Mohammad bersalaman selepas kunjungan hormat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Jaujan Sambakong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hashim Paijan.

Beliau turut diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam bahawa serangan kumpulan Abu Sayyaf boleh berlaku pada setiap hari dan pada bila-bila masa sahaja di Sabah meskipun Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) diwujudkan.

Mohd Shafie berkata usaha meningkatkan keupayaan keselamatan itu penting bagi mengelak tanggapan pihak luar bahawa Sabah adalah tidak selamat memandangkan insiden penculikan pernah berlaku di negeri itu.

“Kita akan berikan kerjasama sepenuhnya dengan KPN sebaik mungkin,” ujarnya. – SabahNewsToday