Pilih Bahasa

Kerajaan negeri bersedia pastikan bayi ditinggal ibubapa dapat penjagaan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk memastikan bayi mahupun kanak-kanak terbiar atau ditinggalkan diurus dengan baik.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata terdapat agensi di bawah kementeriannya yang mengendalikan kes-kes seperti bayi yang ditinggalkan oleh ibu bapanya.

Frankie mencuba membuat kuih jala pada majlis hari raya tersebut. Gambar SNT/Ihsan KKKR

Namun, mengulas berkenaan seorang bayi bernama Yusuf yang ditinggalkan oleh ibunya di Kota Belud baru-baru ini, katanya masih tiada laporan diterima dari agensi tertentu.

“Saya baru tahu pagi ini selepas terbaca berita di salah sebuah portal berita atas talian dan saya agak bimbang akan kes ini.

“Kerajaan mempunyai agensi yang berkaitan untuk mengambil dan mengurus bayi berkenaan seperti Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) yang mana, mereka ada tempat untuk kes seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR), di Wisma Wanita, hari ini.

Terdahulu, pada 30 Jun, seorang bayi lelaki dilaporkan ditinggalkan di hadapan sebuah kediaman di Kampung Pompod, Kota Belud.

Pemilik rumah terbabit menyedari perkara tersebut selepas terdengar tangisan bayi kira-kira pukul 5.30 pagi.

Yusuf dikatakan ditinggalkan di kerusi berhampiran tangga rumah berkenaan dengan hanya berbalut kain dan terdapat nota dari ibunya meminta anaknya dijaga oleh pemilik rumah tersebut. -SabahNewsToday