Pilih Bahasa

KERAJAAN NEGERI CADANG STRUKTUR SEMULA PERANAN GLC

Oleh Alfred Petrus

Hashim (dua kanan) menyerahkan replika cek dividen Warisan Harta Sabah Sdn Bhd sejumlah RM10 juta kepada Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Datuk Peter Thien (tiga kiri) sambil disaksikan oleh Mohd Shafie (tengah). Gambar SNT/ Ehsan Jabatan Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bercadang menstrukturkan semula peranan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri mahu pastikan supaya GLC yang terdapat di peringkat negeri mempunyai urus tadbir dan fokus yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya mahu pastikan GLC sama ada di abwah badan-badan seperti Yayasan Sabah seumpamanya dapat diurus tadbir dan lebih fokus pada masa hadapan.

“Ia adalah bagi memastikan supaya pengurusan itu akan lebih mantap dari segi keupayaan dan kepakaran untuk mengurus untuk mengurus tadbir pembabitan kita dalam pelbagai kegiatan ekonomi bukan hanya di peringkat negeri bahkan di peringkat global pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu acara Penyerahan Dividen Warisan Harta Sabah Sdn Bhd (WHSSB) kepada kerajaan negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada Selasa.

Pada upacara berkenaan juga, Mohd Shafie menyatakan bahawa WHSSB menyampaikan replika cek bernilai RM10 juta sebagai dividen akhir kepada kerajaan negeri sebagai pemegang saham WHSSB.

Beliau turut melahirkan rasa berterima kasih kepada WHSSB kerana, walaupun hasil yang diperolehi agak menurun berbanding tahun sebelumnya, namun ia mampu membantu kerajaan negeri dalam menjalankan urus tadbirnya pada masa akan datang.

“Kita sedar dan tahu GLC juga memberi sumbangan ke arah memastikan supaya ada kewangan mencukupi untuk kita urus tadbir pentadbiran kerajaan negeri Sabah,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah WHSSB Datuk Seri Hashim Paijan berkata pada peringkat Kumpulan, WHSSB mencatatkan pendapatan yang rendah iaitu sejumlah RM78.7 juta pada 2017 berbanding RM82.5 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya penurunan berkenaan adalah daripada persaingan perniagaan yang mencabar.

“Oleh itu, Kumpulan WHSSB mencatatkan keuntungan lebih rendah sebanyak RM20.9 juta berbanding RM38.6 juta pada akhir belanjawan 2016.

“Bagaimanapun, dana pemegang saham Kumpulan meningkat terus kepada RM1.036 bilion pada 2017.

“Di peringkat syarikat, WHSSB menyumbang pendapatan yang rendah sebanyak RM18.9 juta berbanding RM19.9 juta pada akhir belanjawan 2016,” tambahnya.

Namun, Hashim berkata beuntungan bersih cukai telah meningkat dari RM3.5 juta (2016) kepada RM6.0 juta tahun ini. -SabahNewsToday