Pilih Bahasa

Kerajaan negeri digesa segera umum pakej rangsangan

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini menggesa kerajaan negeri pimpinan Warisan agar mempercepatkan pengumuman pakej rangsangan bagi mengatasi kesan pandemik Covid-19 di Sabah.

Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai berkata bantuan perlu diberikan sekarang memandangkan kerajaan negeri lain seperti Johor, Selangor, Melaka dan Perak telah pun mengumumkan pakej masing-masing.

Datuk Joniston Bangkuai. Gambar Fail SNT

Beliau berkata tindakan segera kerajaan negeri memberi bantuan kepada pelajar Sabah yang tersadai di Kuala Lumpur akibat perintah kawalan pergerakan amat dihargai namun pada masa yang sama mereka yang terlibat di negeri ini tidak harus dilupakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini menyatakan bahawa kerajaan negeri akan mengumumkan pakej rangsangan pada bulan April.

“Mengapa harus menunggu sehingga bulan depan? Pada saat ini ramai pengusaha bisnes terutama yang kecil-kecilan telah menerima kesan hebat dan perlukan bantuan dengan segera.

“Di samping itu ramai pekerja terutamanya mereka yang berada dalam sektor hospitaliti dan perkhidmatan telah direhatkan. Mereka begitu memerlukan bantuan sekarang,” ujarnya.

Joniston menambah bahawa kebanyakan daripada mereka yang terlibat adalah dari kawasan luar bandar dan merupakan pencari nafkah utama keluarga.

“Begitu juga penjaja kecil-kecilan di tamu turut terkesan disebabkan semua gerai juga diperintah tutup sementara bagi membendung penularan virus. Bayangkanlah beban dan kesengsaraan yang harus ditanggung oleh golongan ini.

“Saya percaya mereka perlu membayar hutang piutang,” katanya.

Joniston juga berharap kerajaan negeri telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan Covid-19 bertambah teruk.

Sabah mempunyai kes jangkitan ketiga dalam negara dan setakat ini telah menyebabkan empat kematian.

“Kita berharap kerajaan negeri Sabah melalui Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat akan meningkatkan kesiapsiagaan bukan sahaja untuk membendung virus tetapi juga kesan terhadap ekonomi serta kebajikan rakyat,” katanya.-SabahNewsToday