Pilih Bahasa

Kerajaan negeri digesa selesai segera isu gangguan bekalan air

NIzam Abu Bakar Tititngan

TAWAU: Kerajaan negeri digesa untuk terus memberikan keutamaan kepada penyediaan infrastruktur dan bekalan air bersih terawat untuk keselesaan hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sejak kebelakangan ini Tawau sering menghadapi gangguan bekalan air bersih dan kerap berlaku hampir di semua tempat atau kawasan penduduk yang jauh dari loji air.

“Apakah prosedur operasi standard (SOP) kerajaan dalam membantu pengguna di kawasan terlibat dengan gangguan masalah bekalan air yang difahamkan berlarutan berhari-hari. Saya menerima banyak aduan sejak menjadi Adun Apas hingga ke hari ini.

“Walaupun saya sering membangkit isu ini kepada pihak yang bertanggungjawab termasuklah semasa Sidang Dewan Undangan Negeri tetapi masih tidak nampak ada penyelesaian yang dibuat Jabatan Air Sabah dan kerajaan negeri. 

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Air Tawau yang sentiasa membantu penduduk di Tawau tetapi kerana ada kekangan menyebabkan bantuan itu terhad,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Nizam pembangunan semakin bertambah dan permintaan air semakin meningkat tapi keupayaan loji masih sama dan sumber air mentah berkurangan dan lebih teruk apabila penduduk kampung tidak boleh keluar rumah dengan pengkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan virus Covid-19.

Menurut Nizam lagi, pada masa ini di Tawau hanya mempunyai sebuah lori tangki air yang digunakan bagi dua kawasan Parlimen (Tawau dan Kalabakan dan enam kawasan Dun (Balung, Apas, Sri Tanjong, Merotai, Tanjong Batu dan Sebatik).

“Bagaimana mungkin sebuah lori tangki air boleh menampung kawasan yang begitu luas…untuk Dun Apas sahaja mempunyai 18,000 pengundi…saya menggesa kerajaan negeri untuk menambah enam buah lori tangki air. Difahamkan peruntukan untuk penghantaran ada disediakan tetapi tidak mencukupi.

“Saya mencadang dan menggesa kerajaan negeri supaya menambah peruntukan penghantaran air, lori tangki air ditambah enam buah lori, kakitangan Jabatan Air Tawau perlu ditambah (pemandu lori),” tegasnya.

Beliau turut meminta kerajaan negeri mengikut cara kerajaan persekutuan untuk memberikan diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas berikutan penularan Covid-19.

Potongan itu adalah sebanyak 2 peratus akan diberikan untuk golongan rakyat dan potongan 15 peratus pula diberikan kepada sektor perniagaan. – SabahNewsToday