Pilih Bahasa

KERAJAAN NEGERI DIHARAP TERUS BANTU BANGUNKAN SUKAN RAGBI

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Timbalan Presiden Kesatuan Rugbi Sabah (SRU), Dr KH Tan (tiga dari kanan) dan ahli pasukan rugbi Sabah merakamkan gambar kenangan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (empat dari kanan). Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan Ragbi Sabah (SRA) yakin lebih ramai atlit tempatan berprotensi dan berbakat besar dalam sukan itu dapat dilahirkan menerusi program pembangunan sukan di negeri ini.

Sehubungan itu, Presidennya, K.H Tan berkata SRA juga akan memastikan lebih banyak kejohanan ragbi diadakan di peringkat daerah sebagai galakkan kepada atlit sukan itu khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

“Terdapat kira-kira 4,000 atlit ragbi yang terdiri dalam kalangan pelajar daripada sebanyak 136 sekolah di Sabah telah mengikuti program pembangunan sukan berkenaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) berbual mesra bersama Timbalan Presiden Kesatuan Rugbi Sabah (SRU), Dr KH Tan (kiri). Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan Sabah

“Sabah sebenarnya mempunyai ramai atlit berbakat dalam sukan ini dan mereka telah membuktikan kejayaan itu termasuklah menerusi pasukan wanita Sabah yang berjaya meraih emas buat kali pertama dalam Kejohanan Sukma di Perak.

“Kemudian kita juga menjulang Piala Agong 2018 buat kali kelima selepas menewaskan Kelantan 47 – 45 dalam aksi final di Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di pejabat beliau di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu di sini hari ini.

K. H. Tan yang juga Pengerusi Lembaga Sukan Sabah yang baharu berkata Sabah Eagles yang turut dibarisi empat pemain import iaitu masing-masing dua pemain dari New Zealand dan Fiji merangkul piala berprestij itu selepas mempamerkan aksi cemerlang di peringkat separuh akhir.

Katanya pasukan bimbingan Brad Mika yang juga bekas pemain kebangsaan All Black itu mara ke final selepas menewaskan Perak (81-10) selain mengejutkan pasukan pilihan iaitu Kedah dengan mata 27-20 di peringkat separuh akhir.

Mengenai kunjungan itu beliau berkata pihaknya menjelaskan kepada Mohd Shafie mengenai prestasi skuad itu selain berharap kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan sukan itu pada masa akan datang. – SabahNewsToday