Pilih Bahasa

Kerajaan negeri diminta pertimbang semula cadangan guna, naiktaraf Lapangan Terbang Terminal Dua

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

LAHAD DATU: Naib Ketua Wira Warisan, Terence Au menyeru kerajaan negeri mempertimbangkan semula cadangan menggunakan dan menaiktaraf Lapangan Terbang Terminal Dua (KKIA T2).

Beliau mengutarakan isu tersebut bagi bagi pihak rakyat Sabah khususnya belia kerana ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka seperti mana janji dalam manifesto pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Terence Au. Gambar Fail SNT

“Memandangkan kerajaan baharu sedang giat memastikan ekonomi negara meningkat dan salah satu langkah adalah penjimatan kos.

“Oleh itu saya rasa ada lebih baiknya menggunakan semula KKIA terminal dua dengan hanya menggunakan kos naiktaraf lapangan terbang dan meningkatkan kapasitinya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perbincangan di antara Tan Sri Tony Fernandes dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai cadangan menggunakan semula KKIA T2 diadakan pada tahun lalu.

Tony dilaporkan berkata pemindahan ke terminal dua dijangka mengembalikan pertumbuhan penumpang penerbangan tambang murah itu.

Langkah itu juga selaras rancangan syarikat penerbangan berkenaan untuk membawa masuk operasi AirAsia X ke negeri ini bagi mengendalikan lebih banyak penerbangan antarabangsa menghubungkan Sabah secara terus dengan destinasi luar.

AirAsia juga merancang memperkenalkan penerbangan menghubungkan Kota Kinabalu dengan Perth, Sydney dan Melbourne di Australia selain utara China, Jepun, India dan Korea.

AirAsia berpindah ke terminal satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada Disember 2015 selepas penutupan Terminal Dua KKIA berikutan pengoperasian sepenuhnya terminal satu sebagai terminal bersepadu KKIA.

Kos pelaburan menaiktaraf terminal dua untuk meningkatkan kapasitinya dianggarkan bernilai RM20 juta. – SabahNewsToday