Pilih Bahasa

Kerajaan Negeri diminta teruskan agenda pembangunan Nabawan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan (Bersatu) Datuk Bobbey Suan merayu kepada kerajaan negeri baharu agar dapat meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang di daerah Nabawan.

Menurutnya, sebuah Pelan Induk Pembangunan Daerah Nabawan (2016-2030) telah beliau rangka dan kemudiannya diserahkan oleh Pegawai Daerah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri pada akhir tahun 2016.

Datuk Bobbey Suan. Gambar Fail SNT

“Pelan tersebut belum dapat direalisasikan sepenuhnya dan pastinya akan mengambil masa kerana mengambil kira komitmen kerajaan dari segi peruntukan dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Bobbey berharap Kerajaan negeri baharu dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan bersikap proaktif dan dapat meneruskan segala perancangan.

“Keperluan kritikal di kawasan itu ialah kemudahan perhubungan jalanraya, terutama sekali yang menghubungkan Pensiangan dan Nabawan,” katanya semasa membahas usul ucapan terima kasih atas ucapan dasar Yang DiPertua Negeri di Dewan Undangan Negeri pada Selasa.

Bobbey memohon agar Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya mengambil alih bekas jalan balak yang dibina oleh syarikat pembalak dahulu yang sehingga kini menjadi satu-satunya akses antara Pensiangan dan Nabawan/Keningau.

Beliau berkata rakyat di Pensiangan telah sekian lama menderita disebabkan terpaksa berulang alik ke Nabawan atau Keningau menggunakan jalanraya yang tidak diselenggarakan kerana ianya bukanlah dibawah seliaan JKR.

Jalanraya yang selesa juga penting memandangkan Pensiangan merupakan pintu masuk penduduk dari Kalimantan, Indonesia ke Sabah samaada untuk lawatan ataupun membeli belah di Nabawan dan Keningau, ujarnya.

“Perhubungan jalanraya yang selesa antara Pensiangan dan Nabawan/Keningau sudah pastinya akan membuka ruang kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti perniagaan sekaligus dapat menggalakkan lebih ramai pelawat dari Kalimantan berkunjung ke Sabah,” katanya.

Bobbey turut berharap pemain industri pelancongan tidak mengabaikan tempat-tempat lain yang mempunyai potensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

Contohnya, di daerah Nabawan terdapat satu tempat menarik yang berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan iaitu Batu Punggul, katanya.-SabahNewsToday