Pilih Bahasa

Kerajaan negeri kaji kaedah baharu pantau nilai alam sekitar

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang mengkaji kaedah baharu yang boleh dimanfaatkan menerusi penggunaan teknologi serta Sains Pengkomputeran dalam memantau nilai alam sekitar di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata usaha berkenaan giat dilaksanakan kini agar penggunaan teknologi digital dapat dijadikan salah satu platform samaada bagi tujuan menilai serta melindungi alam sekitar agar boleh dijadikan daya tarikan pelancong.

Madius (duduk tiga dari kanan) bersama peserta Persidangan Antarabangsa Sains dan Teknologi Pengkomputeran (ICCST) 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Negeri ini kaya dengan kepelbagaian biodiversiti ketika ini yang boleh dijadikan tarikan ecotourism.

“Orang awam samaada penduduk tempatan atau pelancong asing boleh melihat sendiri keindahan alam sekitar kita yang masih hijau dan terpelihara.

“Menerusi langkah ini, kerajaan mahu melihat bagaimanapun kita boleh mendaki satu lagi peringkat seterusnya dalam memastikan biodiversiti di negeri ini terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains dan Teknologi Pengkomputeran (ICCST) 2019, dekat sini,  hari ini.

Berlangsung pada 29 dan 30 Ogos, persidangan kali keenam terbabit disertai lebih 100 peserta daripada beberapa negara termasuklah Brunei, Malaysia, China, Korea, Thailand, Nigeria dan Pakistan.

Madius ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains dan Teknologi Pengkomputeran (ICCST) 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran seminar berkenaan, Madius berkata program bertaraf antarabangsa seumpama itu dilihat sebagai suatu program terbaik dalam memberi lebih banyak pendedahan berkaitan Sains Data kepada pesertanya.

“Persidangan ini penting bagi Sabah kerana saya dimaklumkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tahun ini sudah memulakan satu kursus untuk pelajarnya mengambil Sains Data.

“Perkara ini  adalah satu bidang amat penting untuk kita mengharungi revolusi industri 4.0,” katanya. -SabahNews Today