Pilih Bahasa

Kerajaan Negeri komited bantu usahawan IKS ke tahap lebih tinggi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited membantu usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) untuk ke tahap yang lebih tinggi agar mampu meningkatkan industri pembuatan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau beri jaminan kementerian Perdagangan dan perindustrian (MTI) akan terus berkerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi seperti Sirim dan Mardi demi mencari penyelesaian isu berkaitan yang dihadapi para usahawan agar mereka mampu membawa produk ke pasaran global.

Antara isu yang menjadi topik hangat dalam kalangan usahawan di Sabah adalah bekalan air dan elektrik serta bekalan bahan mentah menghasilkan produk itu sendiri.

Suasana di tapak Pameran produk Usahawan IKS di lobi, Dewan Undangan Negeri Sabah. Gambar SNT/Ihsan KP&P

Rata-rata 16 usahawan yang dijemput MTI untuk membuat pameran di tapak pameran produk IKS di lobi utama Dewan Undangan Negeri (DUN) menyifatkan bekalan air dan elektrik mencukupi dan sampai ke premis namun kadar tarifnya agak mahal dan kadangkala menyebabkan kerugian.

Kumpulan ini juga merupakan peserta MIHAS baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Darmawansa Mansur, 43 pemilik syarikat D’One Trading, usahawan produk Walit ketika ditemui di tapak pameran melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan dalam membantu usahawan tempatan.

Darmawansa Mansur, mempamerkan kopi walit yang merupakan produk terbarunya berasaskan pati sarang burung walit. Gambar SNT/Ihsan KP&P

“Alhamdullilah, setakat ini saya mampu sampai ke tahap ini dengan pendapatan yang mencecah ratusan ribu setahun kerana hasil bantuan kerajaan khususnya dari segi modal, pembungkusan dan juga pemantauan berterusan melalui DIDR di bawah MTI khususnya,” katanya.

Darmawansa berkata setelah sembilan tahun menternak burung walit barulah terlintas untuk menghasilkan produk hiliran setelah menerima khidmat nasihat daripada agensi kerajaan iaitu DIDR yang mana jauh lebih menguntungkan berbanding menjual bahan mentah semata-mata.

“Banyak kebaikan saya dapat daripada usaha kerajaan ini dan saya sangat bersyukur jika dahulunya produk saya ‘homemade’ sahaja tapi sekarang setanding produk antarabangsa melalui kualiti produk dan pembungkusan,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pencapaiannya sebagai salah seorang daripada empat usahawan yang menerima geran KPDNKK Persekutuan yang sangat sukar untuk diperolehi.

“Saya berbangga hasil bantuan dan bimbingan DIDR saya mampu menghasilkan produk hiliran berasaskan burung walid yang dan sudah pun menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, di lokasi sama Fabian Charles pengusaha produk berasaskan halia Tambunan turut bersetuju bahawa kerajaan memainkan peranan yang sangat berimpak dalam membantu usahawan IKS.

Ini kerana, menurut beliau, terdapat bantuan seperti geran, penyelidikan dan pembangunan, mesin dan bangunan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan khususnya MTI Sabah dan beliau merupakan salah seorang yang menerima bantuan itu.

“Faktor terbesar kami usahawan daerah Tambunan sampai ke tahap seperti sekarang ini kerana kerajaan negeri memberikan kami peluang melalui penyertaan ke ekspo sehingga ke luar negara seperti China, Jepun dan Singapura yang membawa kepada pembeli,” katanya.

Apabila disoal mengenai isu bekalan bahan mentah, Fabian mengakui bahawa mereka mempunyai isu tentang bekalan bahan mentah halia.

“Setakat ini kami hanya mempunyai bekalan sekadar cukup-cukup tetapi kami dalan perancangan membuat penanaman sendiri sebagai jalan penyelesaian sekaligus menjaga kualiti bekalan halia produk kami,” ujarnya.

“Permintaan halia tinggi dan masih banyak benda dan peluang boleh diterokai. Jadi, sekiranya bekalan yang ada tidak mampu menampung, kami sebenarnya sudah bercadang untuk menandatangani rundingan persefahaman bersama para penanam halia di Tambunan untuk menjalankan ladang kontark yang mana kami akan membeli secara terus kepada mereka tanpa melalui orang tengah,” tambahnya.

Selain itu, Wei Wei, Pengurus syarikat Innomatt Trading Sdn Bhd ketika ditemui turut berkongsi tentang pemasaran mi segera mereka yang masih berada ditahap kurang memberangsangkan.

“Sebenarnya, kami mempunyai lima variasi produk mi segera dan ianya sudah menembusi pasaran global dan sampai hingga ke Kuawit, China dan Brunei (dalam perundingan) tetapi untuk di pasaran tempatan kami belum berada di sekitar Kota Kinabalu dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurut Wei, ini kerana syarikat tersebut belum mempunyai jumlah permintaan yang mencukupi di peringkat pasaran tempatan serta terpaksa bersaing sengit dengan beberapa jenama mi segera yang sedia.

“Saya percaya, produk kami mempunyai potensi untuk berkembang lebih pesat di pasaran antarabangsa dan tempatan kerana harganya jauh lebih murah dan tekstur mi yang kami hasilkan lebih licin, kenyal dan pastinya sedap,” tambahnya.-SabahNewsToday